Tanah kubur penuh

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Tempoh penggunaan beberapa tanah kubur bagi jenazah umat Islam di bandar raya ini semakin singkat berikutan blok pengebumian yang hampir penuh.


Tinjauan Sinar Harian ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif di sini, mendapati hampir keseluruhan 16 blok yang ada di sana telah digunakan.


Menurut penggali kubur, Samsudin Bachok, 39, melihat kepada kepadatan kawasan liang yang ada, kemungkinan tanah perkuburan itu hanya mampu menampung jumlah jenazah kurang daripada dua tahun sahaja lagi.


“Sini memang dah agak penuh, sekarang ada dalam 16 blok dan semuanya hampir telah digunakan.


“Saya tidak boleh nak andai lebih-lebih berapa lagi (jenazah) boleh dikebumikan di sini kerana jumlah orang meninggal ini tidak boleh agak.


“Hari-hari ada orang meninggal. Tambahan pula kawasan perkuburan ini digunakan ramai penduduk dari Bandar Baru Uda sampai ke Taman Universiti, Skudai sana.


“Kalau nak diikutkan tanah ini bukan sesak lagi, tapi memang dah penuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.


Sementara itu, tinjauan ke Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh pula turut mendapati perkara yang sama juga berlaku di kawasan tanah wakaf berkenaan.


Tanah Perkuburan Kebuh Teh yang dahulunya digelar Kubur Dagang dimaklumkan mempunyai keluasan 16 ekar itu bagaimanapun lebih kecil daripada Tanah Perkuburan Bukit Alif.


Penggali kubur, Zulkiflee Mohd Salleh, 50, berkata, tanah perkuburuan itu dilihat agak sesak tetapi tidak terlalu kritikal kerana masih ada kawasan yang boleh dilapangkan untuk menempatkan jenazah.


“Kalau tengok kubur ini memang dah padat sikit, tetapi kita tengok ada kawasan yang boleh ditanam lagi. Macam saya, ada lagi tengok kawasan yang boleh gali, semuanya ikut kemahiran dan cara gali.


“Kalau nak masuk guna jengkaut tidak bolehlah, sempit, boleh lagi kalau nak guna cangkul. Tengok dulu lah kawasan yang utama kedalamam dan saiz liang itu tidak menggangu kubur lain,” katanya.


Namun jelasnya, kawasan perkuburan yang digunakan lebih 50 tahun itu masih memerlukan perhatian kerana tidak banyak lagi tanah perkuburan di kawasan bandar boleh digunakan.


“Perkara ini serius juga, buat masa sekarang masih boleh guna dan kebumi jenazah, tidak tahu bila ia akan penuh sebab, kematian berlaku setiap hari,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]