Tempoh satu tahun baik pulih: Adly

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Kerajaan Melaka menetapkan tempoh satu tahun bagi menstrukturkan semula dan menambah baik Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (PSHM) yang mengalami kerugian terkumpul RM30.5 juta pada 2016.


Ketua Menteri Adly Zahari berkata, PSHM antara syarikat kerajaan negeri yang diberi perhatian utama selepas PH mengambil alih pentadbiran Mei lalu dan penstrukturan semula syarikat sudah dilakukan pihaknya sebelum laporan audit itu dikeluarkan.


“Pada bulan pertama PH mengambil alih (kerajaan negeri) kita mula struktur semula (PSHM) daripada awal menukar CEO (Ketua Pegawai Eksekutif). Sebelum laporan audit itu keluar CEO PSHM juga sudah buat dua audit iaitu luaran dan dalaman.


“Penambahbaikan kita sedang lakukan dan laporan audit itu kita akan lihat dan mana-mana cara kita perbaiki. Kita akan lihat jika ada melibatkan penyalahgunaan kuasa, kita akan semak,” katanya pada sidang akhbar di Banda Hilir di sini, hari ini.


Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama membangunkan taman tema air Splash World @ Harbour City antara Pengerusi Eksekutif juga Pengarah Urusan Hatten Land Limited Datuk Colin Tan; Naib Presiden Eksekutif Samsung C&T, Tommy Byungsuk Jeong; dan Pengarah Jualan Serantau (Asia Tenggara) Polin Waterparks Emre Buyukgungor.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 yang dikeluarkan semalam, PSHM mengalami kerugian terkumpul RM30.5 juta pada 2016 lebih tinggi berbanding dua tahun sebelumnya iaitu RM29.77 juta pada tahun 2014 dan RM27.53 juta pada tahun 2015.


Berdasarkan semakan ke atas laman sesawang PSHM, Adly kini Pengerusi Lembaga Pengarah PSHM; Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PSHM manakala jawatan CEO PSHM dipegang Chong May Lee.


Ditanya mengenai dapatan audit mengenai saham Putra Specialist Hospital (Batu Pahat) Sdn Bhd (PSHBP) ditukar hak milik sebelum pembayaran penuh dibuat, Adly berkata perkara itu masih dalam penelitian pihaknya.


“Proses penjualan hospital di Batu Pahat itu (PSHBP) masih dalam perbincangan lagi kerana kalau kita lihat pembayaran belum dimuktamadkan, terma perjanjian pula sedang disemak kembali. Penjualan tidak selesai lagi,” katanya.- Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]