Tiada rakyat Malaysia terlibat gempa bumi kedua Lombok

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi kedua yang melanda pulau Lombok, Indonesia pada Ahad dan Isnin yang membunuh lebih 80 orang, iaitu seminggu selepas gempa bumi pertama yang membunuh 17 orang termasuk seorang rakyat Malaysia.


Ahli exco Mercy Malaysia dan ketua pasukan gempa bumi Lombok, Norazam Ab Samah berkata beliau tidak berjumpa seorang pun rakyat Malaysia yang terkesan daripada bencana itu setakat ini.


“Tiada rakyat Malaysia, Saya belum menemui seorang pun di Lombok Utara.


“Tetapi gegaran masih dirasai sekali sekala, pada Isnin malam semasa saya tiba di Lombok, kami  (pasukan Mercy Malaysia) merasai gegaran dengan magnitud 5.4,” katanya dalam satu kenyataan  oleh Mercy Malaysia di sini hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia sedia hantar bantuan kemanusiaan ke Lombok]


Norazam, yang tiba di Desa Pemenang, Lombok Utara, bersama-sama pasukan kedua Mercy Malaysia ke Lombok berkata, keadaan selepas gempa bumi kuat itu adalah satu pemandangan yang menyayat hati, kecederaan dan kematian di mana-mana dan sungguh tidak sanggup untuk melihatnya.


Lombok mengalami satu siri gempa bumi, dengan yang pertama pada 29 Julai, 2018 mencatatkan   magnitud 6.4 dan keduanya yang lebih kuat berlaku pada 5 Ogos, 2018 dengan magnitud 7.


“Penduduk berkumpul di kawasan lapang, tidur dalam khemah kain saja dan kanak-kanak serta orang berusia tidur di atas tanah keras dan sejuk,” katanya.


Kedua-dua gempa bumi itu meragut 97 nyawa, 365 cedera dan 8,871 orang ditempatkan semula.


Menurut Norazam, kawasan yang terlibat teruk ialah Desa Pemenang, Desa Tembobor dan Kota Tanjung, ibu kota Lombok Utara.


Beliau juga berkata, pelancong mendapatkan perlindungan di lapangan terbang sementara menunggu penerbangan masing-masing untuk keluar dari pulau ini dan ramai dilaporkan telah berlepas kerana bimbang akan keselamatan nyawa mereka.


Lapangan terbang itu penuh dengan pelancong dan pelawat untuk menaiki penerbangan keluar yang pertama,” kata Norazam.


Bencana di Lombok adalah yang terburuk pernah berlaku di pulau pelancong ini, hingga meranapkan lebih 14,000 rumah, tempat sembahyang, sekolah dan bangunan awam.


“Banyak rumah ranap hingga ramai penduduk tiada lagi tempat tinggal dan tiada rumah jika ditakdirkan pulang tidak lama lagi,” katanya.


Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini, Mercy Malaysia berharap dapat menyediakan bantuan kemanusiaan dengan kadar segera dalam bentuk tempat berteduh sementara, alat penjagaan kebersihan dan selimut.


“Pada malam hari cuaca agak sejuk kerana Lombok terletak dalam zon berbukit. Ramai kanak-kanak dan bayi menangis pada malam hari kerana perubahan cuaca,” tambah beliau.


“Nasib baik ramai keluarga cepat meninggalkan rumah masing-masing apabila tanah mula bergegar, satu tindakan yang betul kerana banyak kematian dilaporkan akibat dihimpap oleh bahagian bangunan,” katanya.


Mercy Malaysia menganjurkan kempen mengutip dana yang dikecualikan cukai, bagi membantu  komuniti yang terlibat di Lombok dan derma boleh disalurkan kepada Mercy Humanitarian Fund (MBB 5621 7950 4126) atau laman sesawang Mercy, www.mercy.org.my. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]