Ugut ibu guna pisau

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Hanya berpunca perselisihan faham kecil, seorang lelaki bersikap biadap apabila mengugut mahu mencederakan ibu kandungnya menggunakan pisau, dalam kejadian di Kampung Duyong Besar, di sini, kelmarin.


Masih tidak berpuas hati mengugut wanita berumur 64 tahun itu, suspek berusia 32 tahun seperti orang hilang akal apabila mengamuk dengan mengugut mahu mencederakan semua rakannya yang berada di kawasan berhampiran menggunakan senjata sama.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian kira-kira jam 7.45 malam berpunca selepas berlakunya perselisihan faham diantara dua beranak terbabit.


Katanya, suspek yang terkenal dengan sikap panas baran gagal mengawal amarahnya apabila bertindak mengambil sebilah pisau sebelum cuba mencederakan mangsa tanpa  menghiraukan rayuan wanita itu kerana ketakutan.


“Dalam situasi kelam kabut itu, mangsa, bagaimanapun memberanikan diri untuk menyelamatkan diri sebelum berjaya keluar dari rumah.


“Suspek yang tidak sempat berbuat apa-apa kepada mangsa terus melepaskan amarahnya dengan mengugut mahu mencederakan rakan-rakan sambil memegang senjata sama.


“Bimbang dengan keselamatan diri dan ahli keluarga lain serta orang sekeliling, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya.


Idris berkata, susulan laporan dibuat, suspek ditahan di rumahnya kira-kira jam 4.15 petang semalam dan merampas senjata yang digunakan suspek untuk mengugut mangsa.


Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]