Warga ILP Marang derma 39 beg darah

in Edisi Terengganu by


MARANG – Pengurusan dan pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di Bukit Parit di sini, berjaya memperoleh 39 beg darah melalui penganjuran kempen Derma Darah di institut kemahiran itu, hari ini.


Kempen dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu itu dikendalikan sepenuhnya warga ILP Marang bagi mengisi tabung bekalan darah hospital berkenaan.


Pengarah ILP Marang, Hamizatul Azura Hamzah turut memberi sokongan moral kepada penderma berkata, kempen itu bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar di institut berkenaan.


Menurutnya, penganjuran dikendalikan pelajar di bawah pemantauan pengajar itu juga bagi memberi pendedahan terhadap aktiviti kemasyarakatan agar ia dipraktikkan selepas mereka tamat pengajian.


“Hal ini penting kerana kepentingan menderma darah dapat menyelamatkan nyawa orang lain, maka sikap prihatin sebegini perlu diterap dalam diri generasi muda yang akan mewarisi negara,” katanya.


Beliau berkata, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, pihaknya berhasrat untuk meneruskan penganjuran kempen tersebut di masa akan datang sebagai antara program wajib di ILP Marang.


Menurutnya, usaha juga diharap dapat mewujudkan kesedaran berterusan dalam kalangan penderma darah khususnya pelatih bagi memastikan bekalan tabung darah di hospital sentiasa mencukupi.


“Kita juga amat berharap kempen derma darah ini bukan sahaja dapat mewujudkan kesedaran kepada penderma tetapi dapat dijadikan sebagai satu budaya selain sebagai satu tanggungjawab,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]