Yakin capai jualan RM1.2 bilion akhir 2018

in Bisnes by


UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise), masih mengekalkan sasaran RM1.2 bilion jualan mampu dicapai pada akhir tahun ini, ke atas semua projek perumahan yang dibangunkan termasuk tujuh projek perumahan terbaharu di selatan Iskandar Puteri, Johor dan Cyberjaya.   


Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, ketika ini pun, pihaknya telah mencapai jualan 60 hingga 70 peratus ke atas projek perumahan yang dibangunkan secara keseluruhannya.


“Sasaran jualan masih tetap sama, melibatkan projek perumahan sedia ada dan juga termasuk tujuh projek baharu yang akan dilaksanakan di selatan Iskandar Puteri, Johor dan Cyberjaya, pada tahun ini.


“Buat masa ini kita selesa dengan sasaran jualan yang sudah pun ditetapkan dan kita sedang dalam landasan yang betul,” katanya pada sidang media di UEM Sunrise Showcase di Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan) Datuk Roslan Ibrahim dan Ketua Pegawai Pemasaran, Kenny Wong.


Anwar memberitahu, UEM Sunrise akan menawarkan penjimatan besar bersempena meraikan 50 tahun ulang tahun sebagai bangunan komuniti kepada pembeli di mana mereka boleh memiliki rumah impian mereka dengan harga yang sangat berpatutan.


“Pembeli akan ditawarkan bayaran pendahuluan serendah RM1,000 ke atas hartanah dibawah tujuh projek perumahan yang akan dibangunkan di selatan Iskandar Puteri, Johor dan Cyberjaya.   


“Sungguhpun pihak kami menawarkan pendahuluan serendah RM1,000 ke atas namun kita percaya masih boleh menampung margin dari segi kos pembuatan dan boleh memberi keuntungan. Untuk jualan Teega Puteri Harbour sahaja, kita telah catat peratusan yang memberangsangkan,” katanya. Sebanyak 300 unit perumahan dengan gaya hidup holistik, terletak dikawasan Johor Bahru dan Cyberjaya ditawarkan  bayaran pendahuluan yang rendah dan RM1,000 untuk Bayu Angkasa.


Sementara, RM5,000 untuk Verdi dan Symphony Hills, dan RM10,000 untuk Estuari Gardens, Residensi Ledang, Teega Puteri Harbour dan Almas Puteri Harbour.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]