Yakin capai jualan RM10 juta

in Bisnes by


KEMENTERIAN Jabatan Perdagangan Promosi Antarabangsa Thailand menyasarkan jualan RM10 juta bagi 1,000 unit simpanan stok (SKU) bagi produk-produk Thailand sepanjang tahun ini.


Wakil kementerian tersebut, Patcha Wutipan berkata, bermula 3 hingga 5 Ogos  sebanyak 5,000 SKU merangkumi pelbagai produk makanan baharu dilancarkan di pasaran negara ini sempena Pesta Makanan Thai Sabai Sabai 18′.


Bertemakan Sabai Sabai yang bermaksud rasa bahagia, santai dan selesa, pesta makanan Thai, menampilkan pelbagai produk makanan dan snek Thai yang dijual di 25 cawangan Pasaraya Hero di seluruh negara mulai kini.


“Sejak kebelakangan ini, kami melihat peningkatan dalam permintaan terhadap produk Thailand yang berkualiti daripada pengguna Malaysia.


“Kerana itu kami mahu memberi lebih banyak pilihan produk berkualiti baik dari Thailand. Kami juga sasarkan seramai 70,000 pengunjung sepanjang tempoh perayaan,” katanya selepas majlis pelancaran Pesta Makanan Thai Sabai Sabai 18′.


Pesta tersebut yang bermula 3 Ogos ini adalah penganjuran kali pertama di Malaysia.


Sepanjang tempoh perayaan ini, pelbagai produk baru akan dilancarkan termasuk snek buah-buahan inovasi dari J Fruit, produk gula-gula dari Thailand HACKS, Keropok beras Jepun-Doca, snek coklat Pocky dan banyak lagi.


Katanya, pengguna juga boleh mendapat tawaran harga istimewa dari jenama sedia ada yang terdiri daripada makanan ringan, gula-gula dan minuman.


Selain daripada itu, pengunjung juga berpeluang menikmati lebih banyak persembahan kebudayaan Thailand di Desa Tebrau, Johor Bahru pada 16 hingga 18 Ogos ini.


“Menariknya pelanggan yang berbelanja lebih RM30 di Pasaraya Hero Desa Tebrau berpeluang mendapatkan khidmat urut Thai istimewa selama 15 minit dari Thai Odyssey secara percuma.


“Bahkan sepanjang Pesta Makanan Thai Sabai Sabai 18′, untuk setiap pembelian produk RM5 di mana-mana Pasaraya Hero, mulai 3 hingga 31 Ogos ini, layak menyertai cabutan bertuah berupa hadiah utama iaitu tiket penerbangan pergi balik ke Phuket dengan penginapan empat hari tiga malam,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]