Adun minta kerajaan pertimbang kaedah bendung kes buang bayi

in Nasional by


GEORGETOWN – Seorang penyokong kerajaan hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan satu kaedah bersesuaian untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja terutama kes pembuangan bayi.


Zolkifly Md Lazim (PH-Teluk Bahang) berkata sebanyak 582 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara sejak 10 tahun lepas dan jumlah itu dijangka meningkat jika masalah itu gagal dibendung.


Beliau berkata perkahwinan boleh menjadi antara jalan penyelesaian dalam membantu golongan remaja itu daripada terus terjebak dengan gejala seks bebas, namun perkahwinan membabitkan remaja atau kanak-kanak yang dilakukan secara paksaan perlu disekat.


“Adakah kita akan biar mereka (remaja) ini terjebak dalam gejala seks (bebas). Mungkin kita boleh pertimbangkan satu kaedah bagaimana untuk mengawal remaja-remaja ini.


“Kita mahu pastikan mereka (lelaki) yang bertanggungjawab untuk terus bertanggungjawab. Kita tidak mahu masalah sosial ini terus meningkat,” katanya ketika mencelah sesi perbahasan Oh Ah Teong (PH- Batu Lancang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang, di sini hari ini.


Oh ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dun menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Selangor yang mengambil langkah proaktif dengan tidak membenarkan perkahwinan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.


“Kanak-kanak perlu diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan dan menikmati zaman kanak-kanak. Mereka tidak mungkin memahami komitmen dan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan berkeluarga. Saya berharap kerajaan negeri boleh mencontohi dan mengambil langkah seperti Selangor,” kata Oh.


M. Satees (PH-Bagan Dalam) yang turut mencelah berkata masalah sosial dalam kalangan remaja boleh diatasi menerusi subjek pendidikan seks di sekolah.


Isu perkahwinan bawah umur timbul selepas seorang lelaki berumur 41 tahun berkahwin dengan seorang budak perempuan berumur 11 tahun di Gua Musang, Kelantan pada Jun lalu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]