Bantulah adik Halimatul Amani

in Edisi by


PASIR PUTEH – Sebuah keluarga daif di Kampung Tok Dir, Selising dekat sini, memerlukan sumbangan orang ramai bagi membantu membiayai kos perubatan anak yang menghidap jantung berlubang.


Nurul Halimatul Amani Masdi, 4, perlu sentiasa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HSUM), Kubang Kerian selepas disahkan menghidap penyakit berkenaan.


Bapanya, Masdi Jusoh, 53, berkata, apabila anaknya mengalami kesakitan, dia perlu menghantarnya ke HUSM secepat mungkin.


Apa yang menyedihkan, dia dan anaknya terpaksa menunggang motosikal sejauh 40 kilometer kerana tidak mampu membayar tambang teksi.


“Saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tak menentu, tapi demi kesihatan anak, terpaksa ulang alik ke HUSM dengan motosikal,” katanya.


Dia kini resah kerana perlu menyediakan RM14,000 bagi membiayai pembedahan anaknya tidak lama lagi.


Katanya, Halimatul Amani akan menangis ketika diserang sakit dan boleh rebah jika lewat dibantu.


Walaupun menerima bantuan bulanan RM120 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Masdi terpaksa mencari sumber lain untuk menampung kos perubatan anaknya itu.


Kesempitan hidup juga menyaksikan rumah pusaka yang didiami keluarga terbabit sejak beberapa tahun lalu semakin usang kerana tidak mampu dibaiki.


“Macam mana saya nak baiki rumah, nak jaga anak pun tak cukup duit. Sebahagian rumah ini dah reput dan ada yang runtuh,” katanya.


Masdi berkata, dia dan isterinya, Rosmawati Mat Sin, 40, juga perlu memikirkan perbelanjaan persekolahan tiga lagi anak mereka yang berusia 10, 14 dan 17 tahun.


Orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Masdi di talian 01117909200.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]