Berbelanja tanpa wang tunai

in Bisnes by


SELARAS dengan perkembangan teknologi, Syarikat Koperasi Ko Ummah Sdn Bhd yang memiliki kedai serbaneka U Shorp di Kelantan mengorak langkah dengan memperkenalkan sistem pembelian tanpa wang tunai.


Melalui kaedah itu, Ko Ummah akan membekalkan kad yang berfungsi menggantikan wang dan boleh digunakan pelbagai fungsi lain termasuk membayar pelbagai bil harian.


Pengerusinya, Luqman Nurhakim Perma Suria berkata, selaras  perkembangan digital, pihaknya sentiasa memikirkan kaedah baharu dan terkini bagi memudahkan pelanggan berurusan dengan kedai di bawah kelolaan mereka.


“Dengan adanya kad ini, tidak perlu lagi guna tunai, kami akan bekalkan kad U Point. Kad ini boleh digunakan di mana-mana rangkaian Ko Ummah,” katanya selepas me­nandatangani Memo­randum Persefahaman (MoU) Ko-Ummah bersama  Mobilityone Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Datuk Hussian A Rahman di Kota Bharu, baru-baru ini.


Setakat ini, Ko Ummah memiliki enam cawangan dan bakal diperluaskan kepada 300 dalam masa terdekat.


Luqman berkata, cara pembayaran ini sudah lama dipraktikkan di negara maju dan yakin ia tidak bermasalah untuk diterapkan kepada masyarakat kerana ia memberi kemudahan kepada pengguna itu sendiri.


“Ini merupakan pilot projek, dengan cara ini kita mendidik orang kita menggunakan teknologi selain cara pemasaran untuk  mengikat pelanggan. Dengan cara ini, orang ramai boleh menyokong perniagaan bumiputera,” katanya.


Dalam pada itu, Hussain berkata, proses perubahan melalui tiga fasa penting, yang mana setiap kedai U Shorp menjadi terminal kepada kemudahan yang bakal disedia­kan.


“Ko Ummah akan me­nyediakan kad untuk membeli barang, selain ia boleh digunakan untuk membayar bil sama ada di kedai terbabit ataupun melalui sistem atas talian.


“Tidak banyak syarikat yang diberikan lesen oleh bank negara untuk menyediakan perkhidmatan ini,” katanya.


Hussain berkata,  pelanggan Ko Ummah hanya perlu menambah nilai dan menjadikan ia sebagai mini bank.


“Sistem pindahan nilai juga diperkenalkan. Pelanggan boleh memindahkan jumlah nilai kepada kad lain untuk digunakan.


“Terminal Ko Ummah juga akan bertindak sebagai mesin ATM. Pelanggan juga boleh keluarkan tunai dengan kad tersebut,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]