Berhenti mengeluh!

in Bisnes by


DATARAN Food Truck di Wangsa Melawati kuala lumpur membuka peluang kepada lebih ramai penjaja untuk menyertai program transformasi ke arah penjaja beroda.


Penganjurnya, Mohd Azrie Abdullah berkata, setakat ini ramai penjaja telah mula menyertai program ini dan berjaya menjadi usahawan trak makanan.


“Kami memberi latihan dan tunjuk ajar bagaimana seseorang usahawan itu ingin memulakan perniagaan trak makanan.


“Ramai juga penjaja yang mengeluh kerana kekurangan modal untuk mendapatkan trak makanan tetapi melalui program ini kami memberi pendedahan melalui cara penyewaan trak makanan yang disediakan oleh pihak kami,” katanya.


Mohd Azrie berkata, melalui program ini bukan hanya usahawan itu dapat mentransformasikan perniagaan mereka malah sikap peniaga juga dapat ditransformasikan untuk lebih beretika dalam mengendalikan perniagaan makanan selain memberi keutamaan kepada konsep kebersihan.


“Usahawan trak makanan juga mendapat potensi pulangan yang lumayan kerana ianya bukannya statik di sesuatu tempat malah mempunyai peluang untuk menyertai karnival atau program yang dianjurkan di tempat lain,” katanya.


Menurutnya, kerajaan khasnya kementerian wilayah persekutuan menggalakkan program ini dalam usaha merealisasikan matlamat membangunkan penjaja.  


“Pemberian lesen juga akan diberikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada usahawan yang mengikut syarat yang telah ditetapkan.


“Usahawan yang berminat untuk menyertai program transformasi penjaja ini boleh melayari Facebook dan Instagram Dataran Food Truck atau datang ke lokasi penganjuran bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap Selasa hingga Ahad,” katanya.


Terdahulu, program ini telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yew Kew dan Pengurus DBKL, Naquib Hamdan.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]