Beri hak pramugari tutup aurat

in Edisi by


SHAH ALAM – Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak pengurusan Malaysian Airlines Berhad (MAB) memberi pilihan kepada pramugari untuk berpakaian menutup aurat dan bertudung ketika bertugas sebagai pekerja kabin.


Naib Presidennya, Nor Azura Kamarudin Sohami berkata, ia bukanlah sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman dalam negara Islam kerana syarikat penerbangan gergasi di peringkat antarabangsa seperti British Airways telahpun mempunyai polisi yang membenarkan pekerja kabin bertudung.


“Helwa cadangkan MAB perkenal polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas. Pihak MAB perlu beri ruang kepada staf kabin selain staf pejabat bertudung malah ada hak dan pilihan untuk pakai pakaian seragam selesa sesuai dengan imej wanita Islam ketika bertugas.


“Sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali,”katanya.


Beliau berkata, isu pemakaian tudung ketika bertugas telah lama berterusan dan perlu diselesaikan segera.


Katanya, ia bukan hanya isu agama dan masalah di tempat kerja malah Helwa berpendapat hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang enteng.


“Antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah  pengalaman mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang paling baik.


“MAB seharusnya boleh laksana polisi pemakaian yang angkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak beri kesan kepada untung rugi industri penerbangan,”katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]