Isu LGBT: Pulau Pinang bantah promosi terbuka

in Nasional by


GEORGETOWN- Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan arahan kepada penganjur Festival George Town 2018 agar menurunkan gambar dua aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipamerkan di Dewan Sri Pinang.


Menurutnya, arahan itu dikeluarkan selepas beliau mendapat aduan dari orang ramai dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada petang Isnin lalu.


Tambahnya, Kerajaan Pulau Pinang menghormati golongan terbabit namun tidak menggalakkan promosi secara terbuka.


“Saya terima aduan dari orang ramai dan JPM dan telah meminta penganjurnya menurunkan gambar-gambar tersebut.


“Tindakan ini bukan bermakna kerajaan negeri tidak menghormati kumpulan ini tetapi kita tidak menggalakkan promosi secara terbuka sebagaimana yang dilakukan,” katanya ketika ditemui tadi.


Ditanya sama ada pihaknya mengetahui perkara tersebut, Farizan berkata, beliau tiada di pameran itu ketika gambar itu dipamerkan.


“Saya dah kata, kalau saya tengok (gambar itu) dari awal, saya akan suruh mereka bawa turun tetapi, pelancaran pameran itu diadakan pada 4 Ogos lalu, sama hari dengan pelancaran bulan kemerdekaan yang di adakan di Padang Kota Lama.


“Saya tak ada di situ, saya lebih fokus kepada program di Padang Kota yang dihadiri perdana menteri. Namun, penganjurnya bagi kerjasama yang baik apabila menurunkan gambar-gambar itu pada pagi Selasa lalu,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]