Jenayah kejam dalam tempoh empat tahun

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kejadian samun dan rogol seorang pekerja wanita di sebuah butik menjual pakaian di Jalan Bukit Kecil, di sini, 1 Ogos lalu disifatkan sebagai jenayah kejam yang berlaku dalam tempoh empat tahun di negeri ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, hasil risikan dan maklumat orang awam membantu anggota polis memberkas suspek kes itu dalam tempoh tidak sampai 24 jam.


“Kes ini disifatkan antara kes yang kejam dan jarang berlaku di negeri ini.


Biasanya kes-kes seumpama ini jarang dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai sehari kerana kebanyakan suspek berjaya melarikan diri.


“Jadi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kerjasama orang ramai dan kecekapan anggota dalam menyelesaikan kes ini dan suspek akan didakwa dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.


Fazlisyam berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki Melayu tempatan yang berasal dari Kuala Terengganu berjaya diberkas jam 2.45 petang pada 2 Ogos lalu di sebuah bilik hotel di Jalan Paya Keladi, di sini.


“Kita percaya, suspek bersembunyi di hotel selepas melakukan jenayah itu dan tangkapan berjaya dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.


“Sebelum itu, kita juga telah menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes ini dan mereka telah dibebaskan,” katanya


Beliau berkata, antara barangan yang dirampas ialah baju dan topi celoreng yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.


Selain itu katanya, turut dirampas ialah tali pinggang, resit pembelian, resit telefon bimbit, beg sandang, sepasang kasut, seluar jeans, cincin, seluar dalam, telefon dan kotak telefon bimbit dan wang tunai bernilai lebih RM400.


Suspek berusia 25 tahun yang didapati positif dadah itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan senjata.


Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, suspek yang menyamar sebagai pelanggan mendatangi mangsa, 23 tahun, yang merupakan pembantu kedai sebelum bertindak merogol dan menyamun mangsa.


Ditanya rekod jenayah lampau, katanya, suspek sebelum ini pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]