Johari korban Parlimen Sungai Petani untuk Anwar?

in Politik by


KUALA LUMPUR – Hari ini tersebar satu khabar angin yang mendakwa Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga calon Naib Presiden PKR, Datuk Johari Abdul sedia mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menerusi sebaran WhatsApp tersebut menyatakan,  Johari bersetuju untuk berundur dari kerusi ahli Parlimen kerana beliau memegang dua kerusi iaitu Dun Gurun dan Parlimen Sungai Petani.


Menurut sumber, Johari dikatakan sanggup berkorban untuk beri laluan kepada Anwar dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.


Sinar Harian berkesempatan menemu bual Johari bagi menjelaskan sejauh mana kebenaran khabar angin tersebut.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan itu dengan tenang menjawab, Anwar belum menghubungi beliau berkenaan hasrat tersebut.


“Buat masa ini Anwar belum berhubung lagi tentang keputusan ini, beliau tak tanya  pun. Lagi pun Anwar tak bagi indication bilakah dia akan bertanding (Parlimen).


“Kerana sekarang ini Anwar pun belum lagi disahkan,  beliau menang tanpa bertanding jadi belum disahkan secara rasmi sebagai Presiden (PKR)…mungkin dalam masa terdekat,” kata Johari.


Bagaimanapun ketika ditanya pendapat peribadinya jika benar spekulasi berkenaan, adakah beliau benar-benar rela melepaskan Sungai Petani untuk Anwar.


Johari berkata, beliau belum tahu, mungkin Anwar ada tiga, empat idea lain.


“Saya tak tau mungkin Anwar ada idea tiga, empat. Tapi kalau ditanya, saya akan bincang dan beri maklum, sekarang beliau belum tanya atau bincang pun.


“Kita belum bincang kalau dah bincang kita tengok bagaimana perkara ini akan berjalan. Namun, kita belum bincang  nanti kita bincang apakah terma-termanya.


“Saya ada pengikut, saya ada pengundi jadi mari berbincang dulu,” kata beliau.


Johari menyifatkan sebaran khabar angin ini sebagai satu spekulasi.


“Ya semua orang boleh cakaplah free world, free country semua orang boleh cakap


“Semua orang boleh buat spekulasi, itu biasa dalam politik tapi bincang dulu, tunggu sampai tuan tubuh (Anwar) sendiri bertanya dengan saya dan saya akan bincang,” jelasnya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]