Johor mahu projek RTS disegerakan

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor mahu projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dapat disegerakaan secepat mungkin bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.


Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kesesakan yang berlaku di pintu masuk negara itu sangat ketara pada ketika ini, sehingga  menyebabkan ianya perlu ditangani dengan sebaik mungkin.


Katanya, kesesakan di laluan berkenaan mesti diatasi dengan segera dan projek RTS itu adalah salah satu daripada penyelesaiannya.


“Projek itu sebagaimana dinyatakan Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan sebelum ini akan dilaksanakan dan dalam perancangan serta semakan akhir oleh mereka.


“Bagaimanapun, kita juga mahukan ia dilaksanakan segera, sebolehnya menjelang pertengahan tahun depan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBS) beliau dan anggota-anggota exco kerajaan negeri, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.


Osman berkata, beliau difahamkan Unit Perancang Ekonomi sedang memuktamadkan butiran mengenai projek itu dengan syarikat pelaksananya juga sudah dikenalpasti.


Beliau berharap tidak ada kelewatan dalam melaksanakan projek itu kerana akan memberi manfaat kepada Johor dan Singapura.


“Penambahbaikan dalam kesalinghubungan dan akses antara Johor Bahru dan Singapura akan meningkatkan aktiviti ekonomi di kedua-dua belah pihak,” katanya.


RTS yang bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura melibatkan kos RM4 bilion dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024, sekaligus diyakini dapat mengatasi masalah kesesakan yang sering dialami kedua-dua rakyat di Tambak Johor.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]