Kerajaan kekal dasar sedia ada Malaysia berhubung Asean

in Nasional by


PUTRAJAYA – Malaysia di bawah kerajaan baharu tidak mengubah dasar sedia ada negara berhubung Asean selain akan terus memainkan peranan memperkasa perkumpulan serantau itu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.


Beliau berkata Komuniti Asean yang berpaksikan rakyat merupakan agenda yang sentiasa diutamakan kerajaan baharu Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan Asean yang lebih kukuh.


“Kita mahu maksud Komuniti Asean dapat dilaksanakan dalam erti kata sebenarnya,” kata beliau pada sidang media di Wisma Putra, di sini hari ini.


Beliau berkata ini seiring dengan matlamat penubuhan Komuniti Asean pada 2015 itu yang bertujuan memperkukuh ekonomi dan membina rantau yang aman serta selamat.


Terdahulu beliau hadir upacara menaikkan bendera bersempena sambutan Hari Asean ke-51 yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Asean dan pencapaiannya.


Hadir sama Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. Turut hadir  wakil duta dari sembilan lagi negara Asean dan 30 diplomat di Malaysia serta belia dan pelajar.


Mengulas program hari ini, Saifuddin berkata persepsi Asean merupakan sebuah kelab elit yang terdiri daripada ketua kerajaan, menteri, duta dan peniaga besar perlu dikikis dalam kalangan warga rantau itu.


“Cabaran kita adalah menamatkan persepsi itu dan menjadikan Asean berpaksikan rakyat  dan konsep Asean dapat dirasai  oleh lebih daripada 630 juta rakyat di rantau ini,” katanya.


Sementara itu, Saifuddin berkata beliau akan memperkasa hubungannya selaku Menteri Luar yang baharu dengan duta-duta Asean di Kuala Lumpur.


Antara yang beliau rancang ialah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan duta-duta terbabit dua kali setahun bagi membincangkan perkara-perkara yang tidak memerlukan mesyuarat peringkat menteri.


Katanya menerusi perjumpaan sebegitu, program kerjasama rakyat dengan rakyat dapat dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada warga Asean.


“Program-program yang dilaksanakan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang) telah mendapat sambutan di negara-negara Asean. Kita mengalakkan pertubuhan masyarakat di Malaysia untuk mengadakan program mereka di negara-negara Asean,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]