Kerajaan kena tegas halang LGBT

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil tindakan pantas dan tegas bagi menghalang kempen menghalalkan gaya hidup Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini.


Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, kempen menuntut hak sama rata golongan itu yang bertentangan dengan agama akan menjadi punca kepada kerosakan institusi sosial lebih besar terhadap masyarakat di Malaysia.


“Benar kata Datin Marina (Mahathir), hari ini mereka bukan minta perkahwinan sejenis tetapi apa akan jadi pada masa akan datang?


“Perkahwinan sejenis di negara-negara lain bermula dari perjuangan menuntut kononnya hak asasi sama rata untuk golongan LGBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.


[ ARTIKEL BERKAITAN: LGBT bukan minta kahwin sejenis ]


Sebelum ini, Marina berkata, komuniti LGBT di negara ini hanya mahukan kesamarataan dari sudut hak asasi manusia yang terkandung dalam perlembagaan.


Ia termasuk hak mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan dan perlindungan keselamatan tanpa sebarang diskriminasi.


Menurut Noraini, Wanita Umno bersetuju bahawa mana-mana individu di Malaysia tidak pernah dinafikan hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian.


“Isu diskriminasi terhadap golongan LGBT untuk mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan, perlindungan keselamatan dan sebagainya berlaku apabila tuntutan agama masyarakat terutamanya umat Islam di negara ini diambil ringan seolah-olah ingin menghalalkan gaya hidup LGBT,” katanya.


Katanya, sebagai sebuah negara Islam dari sudut kehidupan dan Perlembagaan, rakyat mesti akur bahawa hubungan sesama jantina itu adalah haram di sisi Islam.


“Maka, untuk menghalalkan golongan LGBT mengamalkan gaya hidup hubungan sesama jantina secara terbuka merupakan satu hak yang berlebihan untuk diminta dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]