Mangsa kebakaran masih terkejut kedai musnah sekelip mata

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Detik hitam yang menimpa lapan peniaga selepas deretan kedai mereka musnah dalam kebakaran kelmarin, diakui merupakan tempoh paling sukar berikutan perusahaan itu dijalankan sejak berpuluh tahun lamanya.


Walaupun masih trauma dan bersedih, namun pengusaha yang mangsa kebakaran di Pekan Ayer Hitam itu, tidak akan menamatkan sumber pendapatan mereka setakat itu sahaja apabila terus berusaha untuk membina semula perniagaan ini.


Bagi mangsa, Irfan Zakwan Maulan, 19, berkata, kedai milik keluarganya yang menjual kerepek dan makanan ringan telah mula diusahakan sejak 1992 oleh Allahyarham bapanya sebelum diteruskan kakaknya kini.


Selepas 26 tahun menjadi mata pencarian mereka, Irfan mengakui berasa terkilan lantaran mengenangkan usaha arwah bapanya telah musnah dalam kejadian berkenaan, selain memikirkan kerugian yang bakal ditanggung berikutan tragedi itu berlaku saat hampir menjelang Aidiladha.


“Kerugian yang dialami kira-kira RM15,000 kerana kami baru masuk stok barang sebagai persiapan cuti sekolah dan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi,” katanya.

Samsolbari menyerahkan sumbangan kepada semua mangsa yang merupakan pengusaha di kedai di Jalan Ayer Hitam, Batu Pahat.


Sementara itu, peniaga anak patung, Nor Suhaida Md Esa, 25, berkata, dia sememangnya akan kembali meneruskan perniagaan cuma mungkin akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan modal yang besar.


“Memang saya dari zaman sekolah lagi membantu ibu berniaga di sini sehinggalah kini dapat membuka kedai sendiri, kejadian ini sangat mengejutkan saya kerana kami tak sempat nak selamatkan apa-apa.


“Saya akan bina semula secara perlahan-lahan kerana memerlukan wang, namun harap sangat dapat meniaga di lokasi sama kerana kedudukan strategik,” katanya.


Terdahulu, lapan peniaga yang menjadi mangsa kebakaran semalam menerima bantuan daripada Adun Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yang juga Ketua Umno Bahagian Ayer Hitam berjumlah RM1,000 seorang.


Samsolbari turut melahirkan simpati dan berharap kerajaan akan memberi nafas baru kepada mangsa dengan menyediakan tempat yang lebih kondusif untuk mereka meneruskan perniagaan.


Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lapan kedai di Jalan Ayer Hitam-Johor dekat Batu Pahat hangus dijilat api dalam satu kebakaran awal pagi kelmarin.


Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, kesemua kedai binaan sementara berkeluasan 100×20 kaki itu dilaporkan hangus sepenuhnya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]