Pelajar tingkat empat 'kantoi' pil kuda

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Seorang pelajar tingkatan empat di salah sebuah sekolah di daerah ini didapati positif pil kuda atau Methamphetamine selepas ditahan ketika Operasi Ponteng Sekolah, semalam.


Pelajar itu antara 17 kaki ponteng yang berjaya dicekup dalam operasi yang dilaksanakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri dengan kerjasama Skim Rondaan Sukarela (SRS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain.


Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Kuala Nerus/Kuala Terengganu, Md Azmi Abd Aziz berkata, operasi yang bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira 12 tengah hari itu memberi tumpuan di beberapa lokasi panas yang sering menjadi tempat lepak pelajar ponteng.


“Operasi ini melibatkan seramai 30 orang daripada pelbagai organisasi dan jabatan selepas pihak kami banyak mendapat aduan berhubung pelajar ponteng.


“Hari ini kita berjaya menahan 17 pelajar dan salah seorang daripada mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


“Operasi yang kita jalankan hari ini lebih kepada untuk memberi nasihat dan bantu pihak sekolah untuk membanteras masalah ponteng dalam kalangan pelajar,”katanya.


Katanya lagi, kesemua pelajar yang ditahan itu kemudian diserah kepada sekolah masing-masing untuk tindakan kaunseling.


 


 

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]