Peniaga dipenjara satu hari, denda RM10,000

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang peniaga barangan kimpalan dan kerja semburan dijatuhkan hukuman satu hari dan denda RM 10,000 oleh mahkamah sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada kakitangan kerajaan, Jun tahun lalu.


Tertuduh, Tan Kok Siong, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.


Mengikut kertas pertuduhan, Kok Siong didakwa telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada Pegawai Penguatkuasa, Raja Abu Bakar Raja Yahya, 44, yang bertugas di Majlis Perbandaran Kluang sebagai dorongan untuk membatalkan tiga tawaran kompaun dikenakan terhadapnya.


Kompaun terbabit melibatkan jumlah sebanyak  RM500 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, RM500 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen dan RM1,000 atas kesalahan membina struktur bangunan tanpa kebenaran.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) kira-kira jam 11 pagi, 7 Jun tahun lalu.


Dengan itu, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.


Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang kontraktor turut dijatuhkan hukuman yang sama selepas mengaku bersalah memberikan wang rasuah kepada pembantu penguatkuasa MPK, 23 Januari lalu.


Tertuduh, Kerk Kok Ping, 43, didakwa telah memberikan wang rasuah berjumlah RM400 kepada pembantu penguatkuasa, Mohd Nor Amin Juhari untuk tidak mengeluarkan saman kerana kesalahan menjalankan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran.


Dia dengan itu didakwa mengikut Seksyen 70(A) dan menumpahkan dan menjatuhkan tanah di bawah Seksyen 47(1) (e)  Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.


Manakala bagi kesalahan memberikan suapan di didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili sebarang peguam.


 


 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]