Perkhidmatan perlu sebaik dahulu

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Orang ramai berharap Kerajaan Melaka dapat mengembalikan kemudahan perkhidmatan bas sama sebelum wujudnya Panorama Melaka dahulu tidak kira berapa banyak pun jumlah bas yang perlu ditambah.


Seorang pekerja kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani, 52, berkata, dia yang berasal dari Permatang Pasir menggunakan kemudahan bas awam setiap kali pergi dan balik kerja selama 15 tahun/


“Walaupun berbeza bas dahulu dengan sekarang yang mempunyai alat penyaman udara tapi perkhidmatan yang ada sekarang semakin buruk tidak seperti dahulu.


“Lihat sahajalah keadaan saya hari-hari terpaksa tunggu bas sehingga lebih dua jam hari-hari. Saya tunggu dari jam 2.15 tapi sekarang sudah hampir jam 4 petang masih belum ada bas. Bila saya cakap orang tidak percaya.


Menurutnya, tidak kisahlah walau berapa jumlah bas yang akan ditambah kerajaan negeri tetapi adakah perkhidmatan yang diberikan masih sama seperti 20 tahun lalu.


“Perkhidmatan sekarang tak sama macam dulu, kalau dahulu banyak bas yang lalu di Jalan Padang Temu, Permatang Pasir tapi sekarang tak seperti itu. Bas dah jarang, sampai saya terpaksa jalan kaki dapatkan bas di jalan utama berhampiran Balai Polis Kandang.


“Tengoklah sendiri, berapa banyak bas yang di Stesen Bas Melaka Sentral ini. Bila kita tanya kepada kakitangan mereka, adakah bas sampai lama lagi, tak pernah mereka beri jawapan memuaskan.


“Saya rasa lebih elok perkhidmatan ketika sebelum adanya Panorama Melaka lagi, saya rindukan zaman Syarikat SKA, Bas Tuah, Bas MOS, zaman tu adalah terbaik,” katanya ketika ditemui menunggu bas di Stesen Bas Melaka Sentral.


Seorang lagi pengguna, dikenali sebagai Ani, 50 dari Gadek, Alor Gajah berkata, dia amat menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menambah jumlah bas.


“Baguslah kalau (kerajaan negeri) kata macam tu, cuma kami pengguna harapkan perkhidmatan lebih baik tidak seperti sekarang yang saya anggap amat teruk sekali. Kena sedar yang guna bas bukannya orang kaya, kebanyakan warga kurang berada, warga emas dan pelajar.


“Hari ini (semalam) saya dari Gadek mahu ke Hospital Melaka, tunggu bas di Gadek dah lebih dua jam, nak balik pun dari pukul 1 sehingga sekarang dah hampir pukul 4 pun bas belum ada lagi, memang teruk.


Menurutnya, memang benar dahulu tiada pendingin hawa namun sistem lebih baik berbanding ketika ini dengan sistem lebih teruk.


Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan negeri mengumumkan penambahan jumlah bas dari 26 kepada 40 buah keseluruhannya selewat-lewatnya penghujung Ogos ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]