PPS akan diwujudkan semula di Pulau Pinang

in Nasional by


GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang bercadang untuk mewujudkan semula Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dalam membantu kerja-kerja sukarela dan menyelamat di negeri ini.


Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, peranan PPS amat penting terutamanya ketika berlaku bencana atau insiden membabitkan masyarakat setempat.


Menurutnya, hasrat mewujudkan semula PPS itu bagi menjadikannya sebagai bomba komuniti dalam memberi bantuan awal kepada mangsa bencana alam terutamanya banjir yang kerap melanda negeri ini.


“PPS merupakan satu medium untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat yang menghadapi bencana dan dalam kesusahan. Namun, BN dan Umno telah membunuh PPS dengan membawanya ke mahkamah oleh Kementerian Dalam Negeri ketika BN memerintah.


“Sehubungan itu, kerajaan negeri akan mewujudkan semula PPS sebagai bomba komuniti untuk manfaat rakyat antaranya ketika berhadapan dengan bencana antaranya banjir, ribut dan kebakaran,” katanya.


Boon Poh yang juga Adun Sungai Puyu (DAP) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Adun Sungai Dua (BN), Muhamad Yusoff Mohd Noor yang mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan pasukan sukarelawan di setiap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK).


Ia bagi membantu mangsa dalam tindakan awal dan tidak perlu menunggu  pihak jabatan lain.


Boon Poh berkata, PPS amat penting bagi kerajaan negeri dengan memberi gambaran akan menubuhkannya semula secepat mungkin jika mendapat kebenaran.


“Kes PPS telah dibawa ke mahkamah dan sehingga sekarang masih belum ada keputusan di peringkat Mahkamah Persekutuan. PPS amat penting bagi kita, kalau boleh, esok juga kita nak tubuh PPS di seluruh Pulau Pinang (jika kita dapat kebenaran).


“Walaupun kerajaan negeri dan Pusat kini adalah sama tetapi KDN sebelum ini telah bawa kes ini ke mahkamah dan sehingga kini tidak ada keputusan di Mahkamah Persekutuan. Kita tak boleh buat apa-apa,” katanya.


Kes PPS kini berada di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas mahkamah membenarkan kerajaan Pusat mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan PPS ditubuhkan secara sah oleh Kerajaan Pulau Pinang.


Pada 3 Mac 2016, Mahkamah Rayuan Putrajaya memberi kebenaran kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar perintah KDN yang mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.


Kebenaran itu diberikan selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan Kerajaan Pulau Pinang bagi kebenaran untuk semakan kehakiman pada 8 Oktober 2015.


Dalam permohonan yang difailkan pada 27 Januari 2015, Kerajaan Pulau Pinang selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.


Dalam permohonan itu, Kerajaan Pulau Pinang antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 November 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.


Kerajaan Pulau Pinang turut memohon suatu deklarasi bahawa PPS telah ditubuhkan secara sah dan betul oleh kerajaan negeri mengikut Seksyen 101 (v) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]