
KUANTAN – Semua 45 anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) perlu mengstruktur semula syarikat masing-masing dengan mengolah kembali pelan pembangunannya agar produktiviti dan hasil tahunan dapat ditingkatkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi memastikan semua S-GLC berada dalam keadaan baik dan kukuh terutamanya aspek kewangan.
Menurutnya, dengan peningkatan prestasi hasil, anak-anak syarikat ini dapat berdikari dan menyumbang kepada hasil kewangan negeri pada kadar mungkin antara 15 atau 30 peratus daripada hasil keuntungan.
“Bermula tahun depan, semua S-GLC ini perlu ada pelan perniagaan yang jelas dengan menetapkan sasaran ‘recurring returns’ sumbangan kepada kerajaan negeri namun untuk tahun ini, mereka boleh tentukan sendiri jumlah sumbangan mengikut kemampuan.
“Pada masa sama, S-GLC yang bermasalah untuk jangka masa agak lama diberi tempoh tertentu agar melakukan perubahan dan kembali mencatatkan keuntungan.
“Jadi setiap pekerjanya perlu berusaha untuk tingkatkan kecekapan, elak pembaziran dan sentiasa memelihara sikap bekerja beramanah dan jujur,”katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC di sini, malam tadi.
Pada majlis itu Wan n Rosdy turut mengumumkan pelantikan Kamarul Ariffin Ahmad sebagai pegawai khasnya bertindak sebagai penyelaras kepada kesemua 45 S-GLC yang sedia ada.
Kamarul Ariffin, 46, bekas pegawai kanan di Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), dilantik ke jawatan tersebut berkuatkuasa 1 Ogos lalu.
Turut hadir bekas Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mohamed Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Timbalan Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang(MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Hadir sama, Pgawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Roslan Harun; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim; serta lebih 350 ahli lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan S-GLC Pahang.
Source: SH Edisi Pahang
[featured-video-plus]