Suntikan semangat untuk murid cacat penglihatan

in Edisi by


KOTA BHARU – Murid cacat penglihatan di Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh mendapat suntikan semangat baharu apabila akan dijadikan anak angkat Unit Kerjaya dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Kampus Kota Bharu.


Cadangan dicetuskan kaunselor, Azizah Mohd Yusof dengan kerjasama PDRM Kelantan dalam usaha murni bagi memberi pendedahan golongan itu kepada dunia luar yang lebih mencabar terutama dalam bidang pendidikan.


Azizah berkata, usaha itu bukan kali pertama, malah sebelum ini pihaknya sudah pun mengadakan program membawa anak-anak yang mempunyai masalah penglihatan tersebut melawat UiTM Kampus Kota Bharu untuk mereka merasai sendiri pengalaman menuntut di institusi pengajian tinggi.


“Golongan ini biasanya mempunyai rasa malu yang menebal untuk berdepan masyarakat kerana kekurangan mereka, jadi masyarakat seharusnya prihatin dan sentiasa memberi perhatian yang sewajarnya kepada golongan ini.


“Antaranya seperti usaha menjadikan mereka anak angkat unit kami, maka kami juga boleh memberikan kaunseling dan motivasi kepada mereka supaya belajar sehingga menjejakkan kaki ke universiti walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” katanya selepas penyerahan sumbangan mesin taip Braille kepada sekolah berkenaan.

Muazam (dua, kiri) dan Azizah melihat salah seorang guru mencuba mesin taip Braille yang disumbangkan mereka kepada Sekolah Kebangsaan Kampong Sireh.


Majlis turut dihadiri Inspektor Muazam Shaaban dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan mewakili PDRM Kelantan.


Azizah berkata, pihaknya juga menjalankan program motivasi melalui Kelab Inspirasi di bawah unit berkenaan dan memberi tumpuan kepada sekolah di luar bandar dalam melahirkan insan  cemerlang serta dinamik pada segenap segi.


“Dengan program yang diadakan ini, murid boleh berkongsi rasa dan bertukar-tukar pandangan selain memberi pendedahan kepada mereka yang akan berdepan cabaran bertukar daripada alam kanak-kanak ke alam remaja.


“Murid ini terutama yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran dan sebagainya ada yang berasa tersisih. Di sinilah kami untuk memberi mereka semangat supaya meneruskan usaha mereka dalam pembelajaran,” katanya.


Sementara itu, Guru Besar, Muhamed Zahari Mohamed Zain berkata, SK Kampong Sireh merupakan satu-satunya sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (masalah penglihatan) di negeri ini dan sudah beroperasi sejak 1999 lagi.


“Tahun ini ada 15 murid yang mempunyai masalah penglihatan di sekolah ini berbanding 17 tahun lalu. Kesemua mereka berusia antara 7 hingga 12 tahun.


“Guru pula 13 termasuk enam guru yang mempunyai masalah penglihatan. Murid dan guru di kelas ini menggunakan mesin taip Braille dan sentiasa mendapat perhatian daripada pihak kementerian dari segi kemudahan mesin ini untuk kegunaan murid,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]