Tak perlu pemilihan semula Wanita Umno di Kulim

in Politik by


KULIM – Umno Bahagian Kulim- Bandar Baharu mengulangi pendirian supaya pemilihan sayap Wanita Umno bahagian itu tidak diadakan semula bagi mengelakkan timbulnya perpecahan.


Ketua bahagiannya, Datuk Muhar Hussain berkata satu perjumpaan telah diadakan bersama pucuk pimpinan pada Isnin lalu untuk menyatakan pendirian Umno Bahagian itu.


Menurutnya, pemilihan semula akan hanya memecah-belahkan lagi sayap Wanita Umno di kawasan ini yang pernah berlaku sejak dulu.


“Saya ada pi buat perjumpaan dengan Presiden Umno, Setiausaha Agong, dan Pengerusi Umno negeri di PWTC pada  baru-baru ini.


“Saya nyatakan ketetapan Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu bahawa kami tidak mahu lagi mesyuarat diadakan kerana tidak mahu lagi sayap parti ini terus berpecah.


“Kalau berlaku perpecahan, tiada lagi Wanita Umno yang akan menjadi tulang belakang  dan kekuatan Umno seperti sekarang,”katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, dalam keadaan Umno bukan lagi pemerintah, semua ahli dan pemimpin tidak perlu begitu tegas mahukan jawatan sebaliknya memastikan parti terus dipercayai rakyat.


“Kita sekarang bukan lagi pemerintah, fokus utama kita adalah nak kuatkan semula Umno. Nak tarik semula kepercayaan rakyat itu yang utama,” katanya.


Sebelum ini, calon Ketua Wanita Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu Datuk NorSabrina Mohd Noor memohon supaya pemilihan semula sayap parti itu diadakan kerana mendakwa terdapat lebihan kertas undi.


Muhar berkata NorSabrina diharap dapat menerima keputusan pemilihan tersebut seadanya.


“Kita harap beliau dapat menerima keputusan seadanya. Sebenarnya beliau juga boleh menjadi ahli jawatankuasa dalam Umno Bahagian, ahli mesyuarat Umno negeri dan jawatankuasa tetap Umno pusat,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]