Tiada halangan pakaian pramugari tepati syariah Islam

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan tiada sebarang halangan bagi mana-mana syarikat penerbangan untuk menetapkan pakaian seragam pramugari yang menepati kehendak syariah Islam selagi mana ia mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan International Civil Aviation Organization (ICAO).


Timbalan menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, CAAM menetapkan supaya syarikat penerbangan perlu  menyediakan pakaian seragam yang membolehkan pramugari dan pramugara menjalankan tugas-tugas keselamatan dalam tempoh yang ditetapkan.


“Ini adalah satu keperluan bagi syarikat-syarikat penerbangan memperolehi sijil keselamatan.


“Dalam hal ini juga syarikat penerbangan bebas memilih pakaian seragam asalkan ia mematuhi kriteria sebagai pakaian yang tidak menghalang tugas semasa pengungsian kecemasan dan berdasarkan kesesuaian dan imej korporat masing-masing,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) di Parlimen, hari ini.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tiada perancangan ubah dasar uniform pramugari ]


Pada masa sama, beliau berkata, pakaian seragam baju kebaya yang dipakai oleh pramugari adalah mencerminkan budaya Malaysia.


“Ia selari dengan identiti Malaysian Hospitaliy yang diamalkan oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB).


“Baju kebaya menonjolkan layanan mesra kepada para pengguna penerbangan berkenaan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]