Johor negeri ketiga Ikrar Bebas Rasuah

in Edisi Johor by


KOTA ISKANDAR – Kerajaan Johor menjadi negeri ketiga melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, semalam.


Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, ikrar tersebut bertepatan dengan moto baharu negeri iaitu “Negeri Berprestasi Tinggi, Bangsa Johor Bestari”.


Katanya, kerajaan dalam melaksanakan amanahnya kepada rakyat hendaklah mempunyai keberanian dari segi moral, berintegriti terhadap keputusan yang diambil dan telus dalam apa jua tindakan.


“Langkah Kerajaan Johor ikrar bebas rasuah menunjukkan komitmen bagi memperkasa tadbir urus negeri dan memupuk budaya integriti ini bukan tindakan populis.


“Integriti hendaklah ditunjukkan melalui kecekapan, ketepatan dan tindakan wajar dengan pelaksanaan tadbir urus yang berkesan agar rakyat menaruh kepercayaan kepada Kerajaan dan juga kepada institusi awam.


“Kerajaan Johor tekad akan menyediakan program peningkatan kemahiran sistem dan prosedur melalui pendekatan tadbir urus Iebih bersepadu kepada semua Penjawat Awam di Negeri Johor,” katanya dalam sidang media, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.


Osman berkata, penekanan kepada teguran dan auditan akan dibuat semakan agar tindakan pencegahan yang proaktif diperoleh dan kelompongan yang ada dikurangkan.


Katanya, manakala penguatkuasaan tatatertib dan punitif akan dilaksanakan secara serius agar Penjawat Awam di Negeri Johor amnya akan Iebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.


“Kerajaan Johor berhasrat menjadikan negeri bertuah ini dikenali kerana integritinya dan bukan kerana rasuah serta bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah menjelang 2030.


“Maka pengurusan tertinggi Kerajaan Johor menyatakan komitmen dengan membuat Ikrar Bebas Rasuah.


“Penzahiran akujanji ini adalah jaminan Kerajaan Negeri Johor kepada rakyat, penjawat awam, pemegang taruh dan pelanggan bahawa Kerajaan Negeri serius dalam memerangi gejala rasuah,” katanya.


Ujar Osman, ikrar yang dilaksanakan pada hari ini, merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Johor.


Katanya, ianya bertujuan memperlihatkan kejujuran, keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan Kerajaan untuk berkhidmat dalam suasana yang Iebih kondusif dan bebas daripada sebarang anasir rasuah demi menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat Negeri Johor amnya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]