Kertas Putih Felda akan dibentang di Parlimen

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan membentangkan Kertas Putih berkaitan Felda dalam persidangan Parlimen akan datang.


Menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkara ini penting bagi mendedahkan situasi sebenar Felda kepada umum.


“Kerajaan akan bentang kertas putih di Parlimen dalam sidang akan datang bagi mendedahkan situasi sebenar Felda dan rancangan strategik Felda,” katanya ketika menjawab soalan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Sebelumnya, Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) mengemukakan soalan berkaitan proses penstrukturan Felda yang dilaporkan mengalami masalah kewangan dan urus tadbir.


Tahun lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pernah menggesa bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad mengumumkan Kertas Putih di Parlimen.


Dalam pada itu, Azmin berkata pihaknya komited bagi memulihkan masalah aliran tunai yang dihadapi Felda.


“Tumpuan segera lembaga pengarah dan pengurusan Felda yang baharu untuk memulihkan kedudukan aliran tunai Felda melalui perbincangan dengan pemiutang untuk menstrukturkan semula pinjaman Felda yang sudah mencecah jumlah keseluruhan RM8.025 bilion.


“Langkah seterusnya untuk perkukuh aliran tunai melalui penjualan aset-aset yang tidak strategik seperti hartanah di luar negara dan dalam negara,” katanya.


Beliau turut memberi jaminan kepada peneroka meskipun Felda menghadapi masalah namun pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil akan dibayar mengikut jadual.


“Fokus utama lembaga pengarah dan pengurusan baharu adalah untuk melaksanakan tanggungjawab perundangan terhadap peneroka Felda.


“Kerajaan baharu beri jaminan bahawa pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil akan dibayar mengikut jadual,” katanya.


Dalam sesi sama beliau menegaskan juga bahawa operasi anak syarikat Felda Global Venture, Kilang Tawau Oil Product tidak akan ditutup.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]