Seri Setia: Calon tidak semestinya anak tempatan

in Politik by


SHAH ALAM –  Pas Selangor menjelaskan bahawa calon yang dipilih bagi mewakili parti Islam itu dalam PRK Seri Setia bulan depan tidak semestinya dalam kalangan anak tempatan.


Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pilihanrayanya, Roslan Shahir Mohd Shahir mengulas mengenai calon yang bakal diletakkan Pas pada PRK yang akan diadakan pada 8 September itu.


“Tak semestinya anak tempatan. Calon yang diangkat adalah dalam kalangan yang mampu berkhidmat serta boleh diterima masyarakat,” jawabnya menerusi aplikasi WhatsApp.


[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Seri Setia, Balakong diadakan serentak]


Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat penyakit kanser usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.


Umno sebelum ini mengumumkan untuk tidak meletakkan calonnya di Seri Setia sebagai tanda membalas jasa Pas yang sanggup memberi laluan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dalam PRK Sungai Kandis, Sabtu lalu.


Pas beberapa hari lalu disaran meletakkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk bertanding di kerusi itu pada PRK kali ini.


Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa Abdul Khalid lebih memahami isu pembelian syarikat Splash yang baru dilakukan kerajaan Selangor dan boleh dijadikan bahan kempen utama.


“PRK Seri Setia boleh menjadi medan kepada pembangkang melipat gandakan usaha mendedahkan amalan pilih kasih, tidak telus dan kroni oleh Kerajaan PH.


“Isunya kenapa terlalu mahal? RM2.55 bilion jauh berbeza dengan harga yang dicadangkan oleh Khalid iaitu RM250 juta,” beliau dipetik sebagai berkata.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Roslan berkata, Pas Selangor kini sedang menunggu keputusan muktamad Pas Pusat sama ada parti Islam itu akan bertanding atau tidak pada PRK yang diadakan awal bulan depan itu.


Menurut Roslan, perkara itu tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bersidang hujung minggu ini.


“Pada PRU14 lalu, Pas ada meletakkan calon di Dun Seri Setia dan ini tertakluk kepada keputusan Pas Pusat.


“Pas Selangor bersedia untuk bertanding jika diarahkan berbuat demikian,” katanya.


Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, pihaknya akan mencadangkan nama calon dan menyerahkan senarai tersebut kepada pimpinan pusat untuk penelitian.


Beliau berkata, calon yang dipilih harus bersesuaian dengan konteks Dun Seri Setia serta mampu membawa suara rakyat di Dun Selangor.


“Mengenai pemilihan calon itu, kita belum tahu lagi sama ada anak tempatan atau pun orang luar,” katanya.Calon yang diangkat adalah dalam kalangan yang mampu berkhidmat serta boleh diterima masyarakat.”

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]