Akhirnya Najib jawab tiga soalan Guan Eng

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya menjawab tiga soalan yang dikirimkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sejak minggu lalu.


Najib dalam satu kenyataan di Facebooknya pagi ini berkata jawapannya ialah ‘tiada’ bagi ketiga-tiga soalan tersebut.


“Untuk ketiga-tiga soalan yang ditujukan kepada saya oleh Guan Eng mengenai isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) baru-baru ini, jawapan saya ialah ‘tiada, tiada dan tiada’,” katanya.


Selasa lalu, Guan Eng mengulang tiga soalan kepada Najib dalam kenyataan media yang pernah ditanyakan minggu lalu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng kirim tiga soalan kepada Najib]


Dalam pada itu, menurut Najib, Guan Eng bertindak bijak apabila tidak membuat laporan polis sendiri berhubung dakwaan BN telah merompak wang GST.


“Saya dimaklumkan bahawa Guan Eng telah diminta memberi kenyataan kepada pihak polis berdasarkan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.


“Guan Eng tidak membuat laporan polis sendiri terhadap dakwaannya kononnya BN telah “merompak” wang GST sebanya RM18 bilion semasa sesi Parlimen yang memberikannya imuniti.


“Ini adalah langkah bijak oleh Guan Eng kerana membuat laporan polis yang palsu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.


Sebelum ini, persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Guan Eng mendakwa BN merompak RM18 bilion daripada tabung bayaran balik cukai input GST.


[ARTIKEL BERKAITAN : Polis dah ambil keterangan Guan Eng]


Najib juga mempertikaikan dakwaan Guan Eng bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pecah amanah kerana tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion dari zaman silam sehingga 31 Mei 2018.


“Kerajaan mengutip cukai pendapatan sebanyak RM130 bilion setiap tahun. Jika 10 tahun, ia berjumlah RM1.3 trillion. Jika benar RM16 bilion belum dibayar balik ia hanya 1 peratus dari kutipan bagi tempoh 10 tahun.


“Ada banyak sebab mengapa LHDN tidak dapat membayar balik termasuk faktor pekerja ataupun syarikat asing yang tidak lagi berada atau beroperasi di negara ini, syarikat yang sudah tutup ataupun orang yang tidak dapat dikesan.


“Malah, kegunaan ‘set-off’ (tolak-selesai) untuk kredit cukai bukan sesuatu yang luar biasa dan sering digunakan dalam negara ini dan diluar negara,” katanya.


Bekas Presiden Umno itu turut menyatakan tiada keperluan sebenarnya melayan dakwaan bermotifkan politik mahupun berdepan dengan orang yang mungkinĀ  tidak tahu polisi atau cara wang tunai kerajaan diuruskan.


“Namun, saya percaya rakyat perlu tahu dan diberi kefahaman apakah sebenarnya yang berlaku berlandaskan fakta.


“Lebih baik kerajaan PH menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk kedua-dua isu GST dan cukai lebih bayar dengan serta-merta kerana melibatkan wang kerajaan sebanyak RM35 bilion bagi mencari kebenaran.


“Ini bagi memastikan adakah kerajaan BN, Kastam dan LHDN telah melakukan pecah amanah ataupun kerajaan PH hanya meneruskan permainan politik mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]