Bidang OSH laris dalam pasaran kerja

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Sebut mengenai kursus pengajian bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) mungkin kurang popular dalam kalangan golongan belia dan rakyat negara ini.


Namun, siapa sangka bidang mengkhususkan kepada pengajian aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan sebagainya itu mampu menerima permintaan tinggi dalam pasaran kerja terutama sektor pembinaan dan kilang.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, K Mohanachandran berkata, sejak program itu diperkenalkan  Lake View College (LVC) Bukit Merah beberapa tahun lalu, sejumlah 100 peratus pelajar kolej itu yang mengikuti kursus pengajian OSH itu sudah ditawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam industri pembinaan dan perindustrian.


Menurutnya, kesemua pelajar LVC Bukit Merah yang mengikuti kursus OSH sememangnya akan ditawarkan bekerja di syarikat yang mereka jalani kursus latihan industri sejurus tamat pengajian ataupun ditawarkan oleh syarikat lain.


“Pihak kami mengakui bidang OSH ini tidak glamour, bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, malahan golongan guru sekolah yang tidak menyedari potensi besar terdapat dalam bidang tersebut.


“Sebab itu pihak kami melalui bahagian pengurusan dan promosi kolej sentiasa turun padang ke setiap sekolah di seluruh negara bagi memberi kesedaran terhadap kemampuan bidang OSH dalam memberi masa hadapan lebih baik kepada anak-anak,”katanya kepada sidang media di sini baru-baru ini.


Turut hadir Ketua Eksekutif LVC Bukit Merah, Mohd Jailani Che Idrus.


Mohanachandran berkata, selain kursus pengajian OSH, LVC Bukit Merah turut menawarkan tujuh kursus pengajian lain di peringkat diploma iaitu kejururawatan, kesihatan persekitaran, pengurusan hotel, pengurusan pelancongan, pengurusan perniagaan dan perakaunan.


“Untuk makluman, empat kursus kita mendapat akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) iaitu OSH, Kejururawatan, kesihatan persekitaran dan pengurusan hotel.


“Dengan kualiti kursus ditawarkan, LVC Bukit Merah yakin mampu memenuhi kehendak pasaran kerana kita sudah melahirkan 1,400 graduan, di mana sebahagian besar mereka sudah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat pengajian,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]