Curi air: Lagi tapak projek binaan diserbu

in Edisi by


JEMPOL – Sebuah tapak pembinaan di Felda Palong 21, diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Selasa lalu kerana membuat penyambungan air secara haram.


Serbuan pada jam 10.30 pagi pada minggu lalu itu, diketuai oleh Pegawai Span iaitu Mohd Shariff Abd Rahman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Span dan Unit Penguatkuasaan Sains.


Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, ketika serbuan dilakukan pihak penguatkuasa mendapati penghuni premis telah melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis High Density Polyethlene(HDPE) bersaiz 25mm.


“Pemeriksaan lanjut mendapati penghuni premis tidak pernah mempunyai sebarang akaun berdaftar dengan Sains.


“Selain itu, penyambungan tidak sah dibuat secara terus melalui sebarang meter dengan melalui tiga point penggunaan air iaitu untuk membancuh simen serta kegunaan harian pekerja di rumah kongsi kawasan pembinaan itu, ” katanya.


Menurutnya, ujian klorin di lokasi berkenaan dilakukan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik Sains.


Norzita berkata, sebagai tindakan Span telah menyita paip dan meter yang digunakan di lokasi terbabit sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan.


Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.


“Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersial mahupun domestik.


“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau Non Revenue Water (NRW).


“Pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kegiatan kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan maklumat pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]