Isu air Kelantan ke Parlimen

in Edisi by


TUMPAT – Isu gangguan bekalan air di Kelantan akan dibawa ke Parlimen untuk dibincangkan di peringkat nasional.


Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia mungkin satu cara untuk menyelesaikan kemelut yang membelenggu rakyat Kelantan sekian lama.


Menurutnya, faktor terbesar yang menyebabkan isu air di Kelantan adalah disebabkan oleh kekangan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.


“Kelantan telah ditinggalkan terlalu jauh dari infrastruktur air oleh kerajaan sebelum ini, sudah tiba masanya kerajaan baharu ambil kira masalah tersebut untuk selesaikannya.


“Saya akan bawa isu ini untuk dibincangkan dalam persidangan belanjawan di Parlimen pada Oktober nanti,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidiladha di kediamannya di Taman Mimi, Wakaf Bharu, semalam.


Beberapa hari kebelakangan ini, isu gangguan air di Tumpat menjadi tular di media sosial apabila rata-rata kampung di daerah itu terputus bekalan air.


Sehinggakan sambutan Aidiladha hambar kerana tiada bekalan air bersih, malah ada penduduk terpaksa mengangkut air dan bersengkang mata menadah air jam 2 pagi.


Che Abdullah berkata, walaupun menghadapi kekangan, kualiti air yang dikendalikan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semakin baik dari semasa ke semasa.


“Kerajaan Kelantan sentiasa cuba selesaikan masalah air dengan kemampuan yang ada.


“Diharapkan kerajaan baru dapat memberi peruntukan munasabah untuk membantu selesaikan masalah air ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]