Jenazah dua beranak selamat disemadikan

in Edisi by


BACHOK – Jenazah dua beranak mangsa kemalangan jalan raya di Kilometer 31, Jalan Gua Musang- Kuala Krai, semalam selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Rekang Hilir, Tangok, malam tadi.


Jenazah Maslan Hassan, 55, dan anak perempuannya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, tiba di kediaman keluarganya di Kampung Rekang Hilir jam 8 malam sebelum disolatkan jam 9.30 malam.


Manakala, jenazah pemandu yang juga anak kedua Maslan, Muhammad Faiziel,27, meninggal dunia di Hospital Kuala Krai dan jenazah dijangka disemadikan pagi ini.


Anak bongsu Maslan, Mohd Faiqis, 21, berkata, dia terkejut apabila menerima berita mengenai kemalangan itu daripada sepupunya pagi semalam.


“Pagi sebelum mereka bertolak, kakak saya,  Nur Fashiera ada WhatsApp cakap nak jumpa tetapi saya kata saya tak dapat cuti raya dan hanya akan bercuti minggu depan. Status WhatsApp kakak pun macam pelik sikit sebab dia letak gambar kubur ayah. Ayah kami meninggal ketika usia saya tiga bulan. Kakak juga pernah menyatakan hasrat untuk  menunaikan haji ke Makkah namun ia tak kesampaian.


“Selain itu, mak pun nampak lain sebab akhir- akhir ini sering tanya khabar tentang kandungan isteri saya, Nur Aisyah Zahari,22, yang kini nak masuk lima bulan. Mak macam tak sabar nak timang cucu sulungnya,” katanya ketika ditemui media di kediaman saudara mereka malam tadi.


Mohd Faiqis berkata, kakak sulungnya, Nur Farhana Fyren,28, yang turut bekerja di Kuala Lumpur tidak pulang bersama menaiki kereta itu kerana dia pulang menaiki kapal terbang.


Dalam kejadian pada jam 2.40 pagi semalam,  empat beranak itu dalam perjalanan pulang untuk  menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung mereka.


Tragedi pagi raya itu meragut nyawa tiga beranak dan hanya anak keempat, Nur Farrah Ezlyn, 22, terselamat yang patah pergelangan tangan.


Maslan dan Nur Fashiera yang maut dipercayai tercampak daripada kereta terbabit apabila kereta dipandu Muhammad Faiziel dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta itu terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]