
ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor sentiasa memantau dan memeriksa pengurusan kewangan terutama melibatkan projek yang mencurigakan di bawah pelaksanaan pentadbiran terdahulu.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan agar kewangan kerajaan negeri tidak disalahgunakan.
Menurutnya, cadangan beberapa Adun agar penubuhan jawatankuasa khas khusus berkaitan isu tersebut juga akan dipertimbangkan.
“Ini untuk memastikan tiada pertindihan tanggungjawab Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Jabatan Audit Negara Negeri Johor.
“Sekiranya Jawatankuasa khusus ini menjadi satu keperluan kerajaan negeri akan umumkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Osman berkata, Adun yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan projek mencurigakan boleh laporkan terus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri dan Jabatan Audit Negara Negeri Johor supaya tindakan susulan dapat diambil.
Katanya, selain itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk membuat audit forensik terhadap projek-projek yang mencurigakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan kerana kos melantik perunding agak tinggi selain bimbang laporan akhir berpihak kepada mereka berkepentingan.
Source: SH Edisi Johor
[featured-video-plus]