Kes HFMD di Melaka turun

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Penularan penyakit penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka semakin menunjukkan trend penurunan jumlah kes yang dilaporkan menunjukkan penurunan kira-kira 20.7 peratus.


Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, sehingga minggu lalu, sejumlah 153 kes HFMD dilaporkan di seluruh negeri ini berbanding 193 kes pada tempoh sama tahun lalu.


Menurutnya, berdasarkan statistik, kanak-kanak yang berusia di bawah enam tahun merupakan golongan yang paling berisiko dijangkiti penyakit ini, di mana lebih 90 peratus mereka dalam usia ini dijangkiti sehingga kini.


Jelasnya, sebuah sekolah rendah dan sebuah pra-sekolah di daerah Alor Gajah serta sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Jasin masih ditutup kerana penularan HFMD.


Penutupan ketiga-tiga premis ini menjadikan jumlah premis yang ditutup sehingga kini kerana HFMD sebanyak 14 premis.


“Tujuan penutupan premis adalah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain, selain membolehkan pengusaha premis menjalankan proses basmi kuman alat mainan serta permukaan tercemar seperti lantai dan meja,” katanya.


Kata Chee Leong, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka telah mengambil pelbagai langkah pencegahan selain promosi kesihatan bagi menangani penularan HFMD, termasuk mengadakan Town Hall Meeting dengan pengusaha dan guru-guru dari taska, tadika serta pra-sekolah.


Katanya, sebanyak 18 pertemuan sedemikian telah diadakan membabitkan 1,168 pengusaha dan guru-guru dari taska, tadika dan prasekolah.


“Program ini merupakan perjumpaan dengan pengusaha dan guru-guru dari taska, tadika serta pra-sekolah melibatkan sesi ceramah, taklimat dan demonstrasi serta edaran bahan pendidikan kesihatan bagi memberi penerangan dan menerapkan kefahaman mengenai HFMD,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]