Lupakan Ronaldinho, Perak kini intai bintang EPL

in Sukan by


IMPIAN skuad Liga Super Perak mendapatkan khidmat bintang handalan dunia, Ronaldinho pada musim depan mungkin terkubur apabila ejen pemain itu difahamkan menuntut pakej gaji terlalu tinggi.


Perkara itu didedahkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mengakui The Bos Gaurus mungkin terpaksa melupakan khidmat mendapatkan bekas Pemain Terbaik Dunia Fifa itu kerana kekangan kewangan.


Bagaimanapun, Hasnul menegaskan hajat Bos Gaurus mendapatkan bintang import bertaraf antarabangsa masih mampu direalisasikan apabila pasukan itu kini sedang mengintai khidmat beberapa pemain Cardiff City untuk beraksi secara pinjaman.


“Idea mendapatkan Ronaldinho tercetus apabila pemain itu sewaktu ditemuramah wartawan pada kempen mempromosi Piala Dunia 2018 di Kuala Lumpur sebelum ini, menyatakan kesediaan bermain di Malaysia secara percuma.


“Daripada respon itu, saya secara terbuka menawarkan kepada beliau untuk menjadi sebahagian tonggak skuad Perak pada musim depan, lebih-lebih lagi kita akan bermain dalam kejohanan Liga Kejuaraan Asia dan AFC,”katanya kepada media di sini hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Ronaldinho bakal sarung jersi Bis Gaurus]


Bagaimanapun, Hasnul Zulkarnain menegaskan dalam tempoh masa dua minggu pihaknya berhubung dengan Ronaldinho melalui ejen perantara, ejen pemain itu menuntut pakej gaji sangat tinggi jika mahu beraksi untuk Perak.


Berdasarkan faktor itu, beliau menegaskan Pafa terpaksa melupakan hasrat mendapatkan khidmat Ronaldinho dan mengalih tumpuan mencari pemain import berkaliber lain setaraf dengan kemampuan kewangan pasukan Perak sendiri.


“Saya juga yakin nilai tuntutan pakej pembayaran gaji dipinta ejen Ronaldinho tidak mampu dipenuhi mana-mana pasukan lain dalam Liga Super.


“Namun, saya fikir kita masih mampu mendapatkan khidmat bintang import berkualiti dari Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila pengurusan Cardiff City ada menyatakan kesudian meminjamkan pemain mereka kepada Perak,”katanya.


Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya dihubungi pegawai pasukan Cardiff City yang kini beraksi dalam EPL melalui Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu untuk menjemput pengurusan Pafa pergi ke Cardiff, Wales bagi mendapatkan beberapa pemain kelab itu secara pinjaman.


Lebih membanggakan, beliau menegaskan pemilik kelab EPL itu yang juga jutawan dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan turut bersedia menawarkan pinjaman pemain Cardiff City tanpa Pafa perlu menanggung sebarang kos gaji mereka.


“Saya akan berangkat dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak ke Cardiff dalam tempoh masa terdekat bagi membolehkan kami membuat penilaian terhadap mana-mana pemain bersesuaian untuk dipinjam.


“Pafa akan melihat kesesuaian beberapa pemain Cardiff City untuk memenuhi kuota import Perak. Mungkin kita akan pinjam dua atau tiga pemain sahaja, selebihnya ada kuota pemain import Asia yang perlu dipenuhi.


“Apapun, kesemuanya bergantung kepada kehendak jurulatih dan paling penting rundingan dengan pengurusan Cardiff City dapat dijalankan dengan jaya demi pembangunan bola sepak Perak pada masa hadapan,”katanya.


Hasnul Zulkarnain turut memuji kesudian Vincent Tan sebagai salah seorang tokoh korporat negara memberi pulangan semula kepada pembangunan bola sepak tempatan setelah membantu Cardiff City yang dimilikinya kembali bersaing dalam EPL pada musim ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]