Mangsa ribut di Langkawi meningkat

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Bilangan mangsa ribut di Langkawi meningkat kepada 203 orang berbanding 199 orang sehingga jam 2 petang, tadi.


Pegawai Perhubungan Awam  Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Lt (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, kesemua mangsa ribut kini ditempatkan di  Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Teriang yang dibuka di Mukim Matsirat, Langkawi, bermula jam 11.14 pagi, semalam.


“Seramai 203 mangsa membabitkan 43 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindaan berkenaan. Mengikut pecahan, 108 orang adalah lelaki dan 95 orang adalah perempuan,”katanya.


Katanya, seramai 50 kanak-kanak dan empat bayi turut terlibat dalam kejadian.


“Walaupun setakat ini, cuaca cerah dan dalam keadaan baik di kawasan berkenaan namun, mangsa mungkin berada di pusat pemindahan ini dalam tempoh dua minggu disebabkan kebanyakan rumah rosak teruk.


“Ada juga tiga keluarga yang terdiri daripada lapan mangsa tidak dipindahkan kepada pusat pemindahan,” katanya.


Semalam, hujan lebat berserta angin menyebabkan 46 rumah dan sebuah surau mengalami kerosakan bumbung dan siling.


Kejadian itu, melibatkan tujuh kampung iaitu Kampung Kuala Melaka, Kampung Kuala Teriang, Lorong Surau Kampung Baru, Kampung Padang Jawa, Penginapan Pak Hashim, Kampung Sungai Kedas dan Kampung Batu Ara.


Seramai 42 anggota APM ditugaskan untuk membantu mangsa ribut.


Esok, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Langkawi untuk meninjau mangsa ribut dan banjir, pada jam 10 pagi di SK Teriang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]