Masalah trafik di Jalan Balakong dijangka selesai

in Politik by


BALAKONG – Masalah kesesakan trafik di Jalan Balakong, di sini, dijangka selesai selepas sebuah syarikat pemaju perumahan melaksanakan kerja pelebaran jalan tersebut awal bulan depan.


Calon PH, Wong Siew Ki berkata, pihaknya dimaklumkan projek bernilai RM8 juta itu dijangka siap dalam tempoh kira-kira dua tahun.


“Jalan ini sesak dipercayai kerana ada beberapa ‘bottle neck’, pihak pemaju tersebut telah tampil untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.


Menjelaskan mengenai projek itu, Siew Ki berkata, tiada isu pengambilan tanah berlaku.


[ARTIKEL BERKAITAN: Siew Ki yakin sambung legasi mendiang Eddie]


“Walau bagaimanapun kami mendapati ada sebahagian struktur beberapa premis dipercayai berada di atas rizab jalan, pihak berkaitan akan berunding dengan pemilik premis tersebut,” katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang, So Lian Kiong berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengklasifikasikan jalan tersebut di tahap F.


“JKR sudah meluluskan rojek menaik taraf jalan ini pada minggu lalu, segala kos akan ditanggung oleh pemaju berkenaan dalam usaha mereka melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.


Beliau berkata, projek ini hanya membabitkan ‘bottle neck’ dan penambahan dua lokasi pusingan U.


“Jalan yang jaraknya 800 meter ini akan menjadi dua laluan untuk dua hala,” katanya.


Menurutnya pemaju juga akan menaik taraf sistem longkang di sini.


“Masalah banjir di Taman Indah juga dijangka akan selesai, air di kawasan perumahan itu akan terus masuk ke ‘monsoon drain’,” katanya.


Menurutnya, bekas Adun Balakong, mendiang Eddie Ng Tien Chee menganggap isu Jalan Balakong ini sangat penting dan perlu diselesaikan segera.


“Mendiang memang berhasrat untuk menaik taraf jalan ini, namun berhadapan pelbagai masalah,” katanya pada sidang media di Japan Balakong, tadi.


Lian Kiong berkata, perunding memaklumkan setelah projek ini siap, jalan ini akan diklasfikasi sebagai tahap C.


“Saya berharap pengguna jalan raya dapat bersabar kerana kesesakan pasti berlaku sepanjang tempoh projek ini dilaksanakan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]