MDPP ganda operasi pembersihan

in Edisi by


PASIR PUTEH – Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menggandakan operasi pembersihan bagi mengelak lambakan sampah yang lazimnya berlaku pada musim perayaan.


Pengerusi Jawatankuasa Kebersihan, Keindahan Bandar dan Alam Sekitar MDPP, Yuganu Yunus berkata, kakitangan dikerah bertugas 24 jam mengikut giliran sempena cuti Hari Raya Aidiladha kali ini.


Menurutnya, dengan enam lori pengangkut, 18 tong sampah roll-on roll-off (roro) dan lebih 400 tong sampah, lambakan sampah sepatutnya tidak berlaku.


Bagaimanapun katanya, tabiat membuang sampah di luar tong melambatkan kerja memunggah sampah di satu-satu tempat kerana terpaksa dilakukan secara manual sehingga mengambil masa yang lama.


“Saya minta orang ramai berikan kerjasama sebaik mungkin. Saya juga berharap pertubuhan bukan kerajaan turut memainkan peranan memberi kesedaran kepada semua.


“Ada pengguna yang tidak prihatin memasukkan bahan pejal dalam tong menyebabkan jentera kompaktor rosak,” katanya.


Mengenai tindakan sesetengah pencari bahan terbuang yang masuk ke dalam tong roro dan membuang sampah ke luar katanya, pihaknya akan mengenakan tindakan.


Menurutnya, MDPP turut meletakkan kamera tersembunyi di lokasi tertentu dan mengeluarkan saman kepada individu untuk mendidik masyarakat.


“Saya menerima hakikat isu kebersihan menjadi perkara utama setiap kali musim perayaan kerana pada masa itu jumlah pengguna meningkat.


“Kita juga sentiasa bersedia dengan masalah lambakan sampah ini dan ia dapat diatasi sepenuhnya sekiranya orang ramai memberikan kerjasama,” katanya.


Beliau berkata, MDPP menerima banyak cadangan daripada orang ramai, bagaimanapun ia perlu diteliti dari pelbagai aspek sebelum dilaksanakan.


“Ada cadangan supaya tong sampah tidak diletakkan terlalu hampir dengan jalan, agak sukar untuk kita laksanakan kerana ia memerlukan kebenaran tuan tanah,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]