Percepat rumah generasi kedua Felda Jelai: MB

in Edisi by


GEMAS – Kerajaan Negeri Sembilan akan  berbincang dengan Felda untuk mempercepatkan pembinaan rumah generasi kedua di Felda Jelai.


Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, perkara itu akan diusulkan dalam masa terdekat.


“Kita dapat maklum balas daripada  masyarakat di kawasan ini yang memerlukan rumah lebih selesa.


“Buat masa ini mereka tinggal menyewa di kawasan rumah setinggan, ” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan dan Jamuan Bersama Rakyat Felda Jelai, Gemas, hari ini.


Katanya, ada juga di antara penduduk mendirikan rumah di tanah rizab yang kecil dan balai raya yang diubah menjadi rumah.


“Keadaan rumah yang sangat kecil dan sempit itu tidak sesuai untuk dijadikan sebagai tempat tinggal.


“Jadi saya akan berbincang dengan Felda bagi percepatkan pembinaan perumahan untuk generasi kedua ini, ” katanya.


Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau akan berbincang dengan pihak polis untuk menambah anggota pasukan keselamatan di kawasan Felda berkenaan bagi memastikan keamanan di kawasan itu.


“Saya dapati hanya dua orang polis menjaga kawasan yang mempunyai 22,000 penduduk ini.


“Saya rasa ini adalah sesuatu yang amat kritikal dan memerlukan sedikit penambahan keanggotaan polis memandangkan kawasan ini mempunyai bilangan penduduk yang ramai,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]