Pro Du-It diperluas ke zon tengah

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Johor Corporation (JCorp) akan memperluaskan Program Pendidikan Celik Kewangan (Pro Du-It) di zon tengah melibatkan tiga negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.


Naib Presiden Kanan, Divisyen Tanggungjawab Korporat JCorp, Jamaludin Md Ali berkata, program bagi zon tersebut melibatkan 300 murid, 15 guru dari 15 sekolah terpilih.


Menurutnya, untuk tujuan tersebut, 15 guru besar dan 30 guru pembimbing menyertai sesi taklimat dan bengkel Training of Trainers Pro Du-It, baru-baru ini.


“Program ini disokong Kementerian Pendidikan, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah,” katanya, semalam.


Jamaludin berkata, antara objektif utama Pro Du-It adalah melahirkan generasi celik kewangan yang mahir dalam pengurusan berkesan dan sistematik sejak bangku sekolah.


“Lebih menarik lagi, program ini diperkukuhkan dengan pengenalan elemen keusahawanan, nilai-nilai islam universal dan penggunaan teknologi sejajar dengan gaya hidup kini.


“Justeru, turut diedarkan Kad Prepaid atau Cash Card kepada semua guru di dalam mewujudkan ‘Cashless Society’ di kalangan mereka dan secara tidak langsung dapat mendidik pelajar supaya berbelanja dengan lebih bijak dan terancang,” katanya.


Beliau berkata, dalam sesi taklimat dan bengkel tersebut, semua guru besar diberikan taklimat mengenai keseluruhan program.


“30 guru-guru pembimbing program yang dilantik pihak sekolah telah dilatih menjadi fasilitator melalui bengkel Training Of Trainers,” katanya.


Program yang dijenamakan Pro Du-it itu mempunyai enam modul disediakan enam pensyarah Universiti Malaya melalui Institut Pengurusan & Pemantauan Penyelidikan (IPPP).


Projek perintis Pro Du-It diperkenalkan kepada 20 sekolah rendah di Johor mulai 2017 dengan melibatkan 600 murid serta 40 guru dan 30 sekolah.


Pada tahun ini, jumlah peserta meningkat kepada 900 murid dengan bimbingan 60 guru juga di  Johor.


Sejak program itu diperkenalkan, seramai 1,500 murid telah menerima manfaat daripadanya dan dijangka bertambah tahun depan.


Program itu juga telah mendapat sokongan tajaan daripada syarikat dalam Kumpulan Johor Corporation (JCorp) iaitu KPJ Healthcare Berhad, Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Johor Land Berhad serta Damansara Asset Sdn Bhd.


Selain itu, Pro Du-It turut mendapat sokongan beberapa institusi perbankan dalam men­jalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan program tersebut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]