QSR Brands jalin kerjasama dengan Foodpanda

in Bisnes by


QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali rangkaian restoran terbesar di rantau ini, dengan lebih 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, mengumumkan kerjasama bersama Foodpanda, penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan terkemuka di negara ini.


Kerjasama berkenaan sejajar dengan strategi keutamaan pelang­gan QSR Brands bagi mewujudkan akses perkhidmatan yang lebih baik supaya pelanggannya dapat menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut dengan lebih mudah di samping memacu pertumbuhan mengun­tungkan kedua-dua jenama serta Foodpanda.


Memorandum perjanjian itu telah dimeterai menerusi pertukaran dokumen di antara Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Restoran, QSR Brands, Merrill Pereyra dan Pengarah Urusan, Foodpanda Malaysia, Sayantan Das.


Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, inisiatif kerjasama bersama Foodpanda ini bakal memperlengkap perkhidmatan penghantaran KFC dan Pizza Hut sedia ada dan dijangka meningkat­kan jumlah cawangan penghantaran KFC dan Pizza Hut di negara ini kepada kira-kira 480 menjelang akhir 2018 dan seterusnya berkem­bang kepada kira-kira 730 menjelang akhir tahun 2019.


“Jalinan kerjasama dengan Foodpanda adalah sebuah langkah progresif bagi memperluas jaringan kami melalui usaha mempertingkat perkhidmatan penghantaran kedua-dua jenama restoran unggul QSR Brands, iaitu KFC dan Pizza Hut.


“Ini bakal mewujudkan aliran pendapatan baharu kerana ia merangkumi khidmat di cawangan penghantaran sedia ada kami selain turut menyediakan khidmat berkenaan kepada cawangan restoran biasa kami,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim mengatakan kerjasama strategik merupakan amalan dan usaha yang sentiasa diterima baik di dalam Kumpulan Johor Corporation yang pelbagai.


“Ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan QSR Brands. Kerjasama yang sedemikian mampu memberikan kelebihan kepada syarikat ini ke atas pesaingnya, membolehkan ia memperluas kedudukan menerusi perkongsian manfaat rangkaian rakan kerjasama,” katanya.


QSR Brands bakal memainkan peranan menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan peng­han­taran makanan halal oleh Foodpanda akan disahkan patuh halal dari titik mula pengambilan pesanan hingga ke titik akhir penghantaran di pintu rumah, dalam jangka masa terdekat ini.


Pelanggan boleh membuat pesanan penghantaran melalui saluran pelbagai KFC, Pizza Hut serta di platform Foodpanda, memberikan fleksibiliti kepada mereka untuk menikmati hidangan lazat KFC dan Pizza Hut pada bila-bila masa, di mana saja dengan hanya beberapa klik.


Perkhidmatan Foodpanda untuk KFC dan Pizza Hut akan mula dilancarkan secara berperingkat mulai September ini di kawasan Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Perkhidmatan ini menawarkan penghantaran 24 jam daripada restoran KFC 24 jam terpilih.            

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]