Rai asnaf fakir, mualaf

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Seramai 80 asnaf fakir dan mualaf di sekitar Selangor menerima agihan daging korban menerusi program Korban Perdana Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.


Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, program itu turut melibatkan kerjasama IPK Selangor, Universiti Mahsa dan Media Prima Bhd.


“Sebanyak 21 ekor lembu dan 21 ekor kambing dikorbankan untuk program ini dan kakitangan agensi yang terlibat turut turun padang bersama-sama melapah daging korban tersebut.


“Setiap asnaf, termasuk 30 orang daripada kumpulan mualaf menerima dua kilogram bungkusan daging korban setiap seorang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.


Abdul Basith berkata, menerusi program itu LZS turut memberi pendedahan kepada kumpulan asnaf dan mualaf berkaitan ibadah korban yang dilaksanakan.


“Kita turut memberi penerangan kepada 30 mualaf tersebut termasuk 10 orang daripada masyarakat Orang Asli, berhubung fadilat dan kelebihan di sebalik ibadah korban ini, seperti mana yang dituntut agama Islam.


“LZS ambil pendekatan ini untuk menghalusi jiwa supaya mereka juga tahu apa manfaat yang masyarakat boleh dapat menerusi ibadah korban ini,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]