Sabah tak akan ketinggalan

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU –  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking berkata, kementeriannya dan kementerian lain yang diketuai oleh pemimpin dari Sabah tidak akan  membiarkan Sabah ketinggalan ke belakang berbanding negeri lain dari segi pembangunan termasuk membawa pelabur asing ke negeri ini.


Beliau berkata, satu pelaburan besar oleh sekumpulan pelabur asing akan melabur di Sabah tidak lama lagi dalam bidang kimia, komponen penting dalam menghasilkan plastik, yang berpotensi membuka 700 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.


“Bagi MITI ia telah banyak berjumpa dengan pelabur berpotensi… kemungkinan pelaburan besar oleh pelabur asing ke Sabah. Ia akan mewujudkan sekurang-kurangnya 700 peluang pekerjaan.


 Bagaimanapun, kita tidak akan mengumumkannya, nama pelaburan berkenaan buat masa sekarang kerana kami perlu menyelesaikan beberapa perkara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan  kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah,” Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini hari ini.


Leiking berkata, semasa lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini, di mana beliau adalah antara menteri dalam delegasi berkenaan, beliau menemui beberapa pelabur berpotensi di China dan menjemput mereka untuk datang ke Sabah.


Mengenai isu bekalan infrastruktur asas seperti air dan elektrik di Sabah, beliau bersetuju isu berkenaan mungkin boleh mempengaruhi usaha membawa pelabur asing ke Sabah dan pelanggan lain jika ia tidak diselesaikan secepat mungkin.


Bagaimanapun, beliau dimaklumkan oleh Mohd Shafie bahawa isu berkenaan sedang diselesaikan oleh negeri ini menerusi agensinya seperti Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB) serta kerjasama daripada  Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar di peringkat Persekutuan.


Mengenai lawatan beliau ke China, mengiringi Dr Mahathir baru-baru ini, Leiking berkata daripada  pemerhatian beliau daripada perbincangan antara Dr Mahathir dengan presiden China, Xi Jinping, China memahami dan menerima penjelasan Dr Mahathir mengenai pelbagai isu termasuk pelaburan besar oleh  pelabur dari China ke Malaysia. – Bernama


 


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]