Singapura sekat kereta sewa haram Malaysia

in Nasional by


SINGAPURA – Semua pemilik kereta persendirian termasuk warganegara Malaysia diminta mematuhi peraturan pihak berkuasa Singapura yang melarang perkhidmatan  teksi atau perkhidmatan kereta sewa persendirian berpemandu tanpa lesen di republik itu.    


Mereka perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Kenderaan Awam (LTA)  bagi menyediakan perkhidmatan itu.


Tanpa lesen yang sah mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga S$3,000 (S$1=RM2.95) serta penjara sehingga enam bulan.


Menurut satu laporan dua pemandu telah ditahan dalam satu  operasi   terhadap  kenderaan  pendaftaran Malaysia yang menyediakan  perkhidmatan  kereta  sewa  berpemandu  tanpa lesen pada 17 Ogos lepas


Kenderaan yang ditahan itu mungkin akan dilucut hak, menurut portal berita Today.


Menurut laporan itu LTA telah menjalankan operasi penguarkuasaan di kawasan panas seperti Lapangan Terbang Changi, Marina Bay Sands dan Ban San Street.


Kegiatan haram itu bukan perkara baharu dan  pemandu Singapura yang menyediakan  perkhidmatan  kereta sewa berpemandu mendapati jumlah kereta berdaftar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan itu semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Today melaporkan, sekurang-kurangnya lima syarikat yang berpangkalan di Malaysia – Big World Transport, Ben Travel, 168 Go Heng, Ace Transport dan HBC Transport Agency –  menawarkan  perkhidmatan itu di sini.


Kos perjalanan sehala bagi empat penumpang kenderaan Malaysia  tujuh tempat duduk adalah sekitar antara $50 dan S$80, kata operator perkhidmatan itu.


Sebelum operasi pada 17 Ogos itu,  LTA melaporkan telah mengambil tindakan terhadap tiga kes dalam separuh masa pertama tahun ini, 10 kes tahun lepas dan tujuh kes pada 2016. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]