Urus dana elak maahad hadapi krisis kewangan

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Perancangan sistematik dan pengurusan dana yang baik sesebuah pusat tahfiz mampu menyelamatkan institusi berkenaan daripada berdepan krisis kewangan.


Mudir Maahad Tahfiz Ahmadiah Bedong, Fadzil Noor Sahani berkata, antaranya ialah menguruskan perniagaan yang beri manfaat dalam usaha memastikan perjalanan pusat tahfiz lancar dan menge­lak­kan beberapa masalah lain.


Menurutnya, perancangan rapi perlu ditekankan sejak awal penubuhan bagi memastikan ia terus berkembang dan mendapat keper­cayaan masyarakat.


“Bagi memastikan dana tahfiz dan kos pentadbiran sentiasa lancar, kami menyediakan sebuah bas persiaran untuk disewa.


“Kami juga ada sebuah lagi bas digunakan untuk pergerakan pelajar. Ia juga sebagai salah satu alternatif bahawasanya maahad tahfiz tidak bergantung kepada yuran pelajar semata-mata untuk menampung kos operasi,” katanya.


Beliau berkata, Maahad Tahfiz Ahmadiah dirasmikan pada 2012 itu bermula dengan penyertaan seramai 20 pelajar bertempat di perumahan Permaipura, Bedong dengan lima tempat khas disediakan secara percuma kepada anak yatim.


Menurut Fadzil, setelah enam tahun beroperasi, pusat berkenaan telah berkembang maju dan kini mempunyai kompleks sendiri yang dibina membabitkan kos kira-kira RM3 juta.


Beliau berkata, hasil usaha pihak pengurusan, kompleks berkenaan didirikan di kawasan seluas empat hektar dekat Kampung Haji Ngah, Bedong tersergam indah dengan lanskap bertemakan pohon kurma menghiasi setiap sudut.


Katanya, pusat operasi di perumahan Permaipura masih berjalan seperti biasa melibatkan pelajar perempuan manakala pelajar lelaki sudah berpindah ke kompleks baharu.


Jumlah keseluruhan pelajar kini mencecah 85 orang dengan yuran pengajian dikenakan sebanyak RM250 sebulan.


“Seramai 20 pelajar ditaja dan secara keseluruhannya, kompleks ini boleh memuatkan kira-kira 300 pelajar dengan kelengkapan asrama dan kemudahan asas lain, Insya-ALLAH kita jangkakan bilangan pelajar akan meningkat dari masa ke semasa,” katanya.


Menurutnya, pengambilan pelajar dilakukan setiap awal tahun di mana proses pembelajaran mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk menghafaz dan dua tahun lagi sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia.


“Kita akan memperkenalkan sijil pengurusan masjid dijangka pada 2019 manakala pihak kami juga sedang berusaha mendapatkan sijil tahfiz yang dijadualkan boleh mula dimohon pada 2020,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]