Warga Malaysia digesa rebut peluang di Timor Leste

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa penyedia perkhidmatan tempatan menawarkan kepakaran mereka di Timor Leste, sambil meneroka peluang eksport ke negara itu.


Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perniagaan dan Pembinaan Datin Rusiah Mohamed berkata perbadanan itu menganjurkan misi ke Dili, Timor Leste, dari 13 hingga 15 Ogos lepas untuk mengenal pasti peluang eksport bagi penyedia perkhidmatan warga Malaysia.


“Selain menerima pandangan berhubung peluang eksport ke Timor Leste khususnya dalam sektor perkhidmatan profesional, misi pemecutan eksport itu juga bertujuan meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor Leste,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Rusiah berkata kerajaan Timor Leste telah berusaha menyelesaikan permasalahan dihadapi, termasuk infrastruktur yang kurang maju, dan baru-baru ini membangunkan pelan strategik dengan menyasarkan 2030 bagi mencapai matlamat itu.


“Pelan itu bertujuan memperbaiki kualiti hidup, kesihatan dan piawaian kesihatan di Timor Leste,” katanya.


Bagi merebut peluang daripada pelan Timor Leste membangunkan infrastrukturnya, sebanyak 11 syarikat dari Malaysia, yang juga anggota Konfederasi Penyedia Perkhidmatan Malaysia, mengambil bahagian dalam misi itu untuk mempromosikan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang termasuk perundingan kecekapan tenaga, perkhidmatan infrastruktur dan awam atau penyelenggaraan kejuruteraan struktur.


“Terdapat pelbagai peluang eksport di Timor Leste berikutan negara itu sedang mengalami pembangunan pesat. Malaysia perlu merebut peluang tersebut dengan menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang mempunyai saiz pasaran1.29 juta penduduk,” katanya.


Dalam misi tiga hari itu, syarikat Malaysia dan Timor Leste memeterai tujuh memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]