14 alasan PIL 1, PTMP tidak diterima

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Pertubuhan bukan kerajaan, Penang Forum menyenaraikan 14 sebab lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tidak perlu dilaksanakan di negeri ini.


14 alasan itu dinyatakan dalam surat mereka bertarikh 25 Ogos dan akan diserahkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk dipertimbangkan.


Surat itu diedarkan kepada orang awam yang menghadiri forum bagi membincangkan projek mega tersebut yang diadakan di Dewan Sri Pinang, semalam.


Menurut surat tersebut, Penang Forum menyatakan bahawa projek tersebut bukan jalan penyelesaian bagi kesesakan jalan raya di negeri ini.


“Kajian yang dibuat sendiri oleh pihak bertanggungjawab menyatakan, trafik akan bertambah pada 2030 tetapi jika dilihat, PIL 1 hanya bermula pada tahun depan dan mengambil masa tujuh tahun untuk siap. Hanya berbaki empat tahun untuk rakyat menikmati keselesaan di jalan raya dan ia tidak berbaloi untuk leburaya bernilai RM8 bilion.


“Selain itu, pembinaan terowong di zon sesar dan cerun juga dilihat amat berisiko. Lebih 50 peratus dari PIL 1 adalah terowong dan kaedah menggerudi dan letupan akan meninggalkan impak kepada penduduk sekeliling,” menurut surat tersebut.


Penang Forum juga menyatakan bahawa tiada persediaan secukupnya dibuat di tapak kerja projek berkenaan.


Selain itu, laporan kajian awal impak alam sekitar (EIA) projek itu juga menyatakan bahawa terowong dalam zon sesar merupakan kawasan mudah terancam kepada runtuhan dan boleh menyebabkan pergerakan besar tanah yang akan merosakkan struktur berdekatan.


“Laporan EIA juga tidak menyatakan langkah-langkah mitigasi terhadap sekolah, perniagaan dan penduduk yang terjejas secara langsung. Selain itu, laporan itu juga didapati mengabaikan perubahan iklim yang kini menjadi keperluan untuk penilaian di seluruh dunia.


“Laporan tersebut menyatakan tiada struktur warisan yang akan terjejas dan ia dilihat tidak tepat kerana beberapa struktur yang berusia lebih 50 tahun akan terjejas antaranya Sekolah Buddhist Por Tay, Kuil Shree Muniswarar dan Kuil Kek Lok Si,” katanya.


Mengikut surat tersebut, kajian EIA juga gagal mengakui kesan impak visual berikutan lebuhraya bertingkat sebanyak enam lorong akan mengubah struktur sungai.


“Projek itu juga dilihat akan meluruskan sungai sedangkan bandar di seluruh dunia sedang cuba mengembalikan aliran sungai secara semulajadi. Laporan itu juga mengabaikan kemungkinan bencana seperti tanah runtuh.


“Sehubungan itu, projek PIL dan PTMP tidak disokong setelah laporan EIA yang dikeluarkan tidak menepati banyak perkara terutamanya memberi impak kepada alam sekitar,” katanya. 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]